Liverpool pilihan Messi julang trofi Liga Juara-Juara — 'Pasukan terbaik tidak selalunya menang'


  • Podium
  • Jumaat, 05 Nov 2021

MESSI menyifatkan pasukan terbaik tidak selalunya memenangi Liga Juara-Juara, sambil menegaskan Liverpool antara calon terbaik muncul juara musim ini. — Agensi

LIONEL Messi telah menamakan Liverpool sebagai salah satu calon untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini sambil mengakui bahawa 'tidak selalunya pasukan terbaik menang'.

Sebaik Messi menyertai Paris Saint-Germain (PSG) musim ini, skuad kendalian Mauricio Pochettino disenaraikan sebagai pasukan pilihan untuk melangkah ke final saingan elit Eropah kali ini.

PSG telah mara ke final dan separuh akhir Liga Juara-Juara dalam dua kempen terdahulu, jadi sudah tentu mereka mahu muncul juara kali ini apabila memiliki trio penyerang berbisa iaitu Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.

Menyedari bahawa kelab Perancis itu antara 'calon utama' untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini, Messi begitu pun mengakui pasukan seperti Liverpool dan Manchester City mempunyai kelebihan ekoran telah beraksi bersama-sama sebagai satu pasukan dalam tempoh lebih lama.

“Saya fikir (trofi Liga Juara-Juara) adalah sasaran terbesar saya dan PSG,” kata bintang Argentina itu kepada beIN Sports ketika membincangkan prospek memenangi Liga Juara-Juara musim ini.

"Mereka (PSG) telah begitu hampir memenanginya sebelum ini. Sudah tentu kami adalah salah satu calon utama, tetapi kami bukan satu-satunya kelab berpotensi.

“Semua orang bercakap mengenai PSG kerana pemainnya, tetapi kelab lain telah bekerjasama sebagai satu pasukan selama bertahun-tahun serta menandatangani pemain yang bagus seperti Manchester United, Man City, Bayern Munich, Liverpool, Atletico atau Chelsea.

“Jadi, terdapat banyak kelab yang boleh memenangi Liga Juara-Juara,” tambah Messi.

"Ia adalah pertandingan yang sangat sukar dan tidak selalunya pasukan terbaik menang. Anda memerlukan banyak perkara untuk memenanginya, semuanya berkemungkinan."

Liverpool menempah slot ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini selepas menewaskan Atletico Madrid 2-0 di Anfield pagi Khamis menerusi jaringan Diogo Jota dan Sadio Mane sekali gus memastikan kemaraan untuk pasukan Jurgen Klopp.

Selain Liverpool, Ajax, Bayern Munich dan Juventus turut mengesahkan status kelab yang telah melangkah ke 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

messi, psg, liverpool, liga juara-juara,