PEP Guardiola mengakui Manchester City berdepan ujian sukar untuk 'menutup mulut bising' Cristiano Ronaldo menjelang pertemuan berdepan Manchester United dalam perlawanan derbi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu (jam 8.30 malam waktu Malaysia).
Satu Manchester pastinya seakan-akan terhenti apabila kedua-dua gergasi itu bertemu di Old Trafford untuk pertemuan derbi pertama musim ini dalam perlawanan yang boleh menjadi penentu bagi kedua-dua pasukan.
Man City dilihat memanaskan badan dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Club Brugge dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis, 24 jam selepas Man United dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 dengan Atalanta.
Ronaldo yang pada mulanya kelihatan bersedia untuk menyertai Man City pada jendela perpindahan musim panas ini, menjaringkan kedua-dua gol untuk Man United di Itali untuk menjadikan jumlah golnya kepada sembilan gol dalam 11 penampilan sejak menyertai semula The Red Devils, sekali gus menjadi persiapan sempurna menjelang pertemuan hebat berdepan Man City pada Sabtu.
Apabila ditanya apa yang diharapkan pada hujung minggu ini, Guardiola mengakui dia belum melihat prestasi Man United lagi tetapi memberi amaran kepada pasukannya perlu melakukan yang terbaik untuk menghalang sesiapa sahaja seperti Ronaldo.
“Saya tidak melihat perlawanan Man United (menentang Atalanta), saya akan menganalisis dan melihat segala-galanya supaya saya tahu betapa bagusnya mereka.
"Kami melihatnya musim lalu. Mereka mempunyai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah, seorang lelaki yang boleh menjadi mesin penjaring,” kata Guardiola.
Man City hanya mempunyai 48 jam untuk bersiap sedia menghadapi derbi Manchester manakala Man United akan mempunyai satu hari tambahan untuk bersiap-sedia, namun Guardiola tidak mengendahkan perkara itu.
"Jika mereka mahu kami bermain esok, kami akan bermain esok. Jadual adalah jadual. Kami akan berada di Old Trafford pada Sabtu," tegas Guardiola. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram