Cavani pernah luah hasrat tinggalkan Man United


  • Podium
  • Jumaat, 05 Nov 2021

REAKSI Cavani selepas menjaringkan gol ketika menentang Tottenham Hotspur dalam aksi EPL pada minggu lalu. — AFP

NAIB pengerusi kelab Argentina, Boca Juniors, Juan Roman Riquelme mendedahkan bahawa penyerang Manchester United, Edinson Cavani pernah menelefon beliau untuk menyertai pasukan berkenaan pada Januari lalu.

Cavani didakwa tidak gembira di Man United ketika itu kerana jarang diturunkan bermain.

Bagaimanapun, dua jaringan Cavani di saat akhir sewaktu menang menentang Southampton 3-2 pada November tahun lalu, mengubah segala-galanya dan pemain Uruguay itu mula kerap diturunkan, sekali gus menukar keputusannya untuk kekal di Man United.

"Saya bercakap dalam tempoh yang lama dengan Cavani. Saya ingat kami bercakap suatu hari dan keesokan harinya dia bermain serta menjaringkan dua gol di minit-minit akhir perlawanan.

"Dia melakukan 'comeback'. Sejak itu, dia mula menjaringkan gol dalam semua perlawanan dan mereka melanjutkan kontraknya.

"Saya berharap suatu hari nanti kami dapat menyaksikan dia meraikan gol di La Bombonera (stadium Boca Juniors)," kata Riquelme kepada TN Sports.

Cavani menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan bersama Man United musim lalu dan melanjutkan kontraknya selama setahun bersama kelab tersebut.

Minggu lalu, Cavani membentuk gandingan serangan bersama bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sewaktu menang menentang Tottenham Hotspur 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) serta berjaya menjaringkan satu gol. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram