NAMA Patson Daka mula menjadi sebutan selepas meledak empat gol dalam perlawanan menentang kelab Rusia, Spartak Moscow pada saingan Liga Eropah UEFA (UEL) baru-baru ini.
Sebelum itu, Daka mencipta impak apabila menjaringkan gol pertamanya bersama Leicester City ketika menentang Manchester United sewaktu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun dimasukkan sebagai pemain gantian, 13 minit sebelum perlawanan tamat.
Bagi para peminat liga Jerman iaitu Bundesliga, Daka tidak asing bagi mereka. Pada musim 2019/20, jurulatih RB Salzburg, Jesse March terpaksa melupakan kehilangan penyerang muda berbisa Norway, Erling Haaland yang berhijrah ke Borussia Dortmund pada musim berkenaan.
Sejak itu, Daka menjadi penyerang utama buat Salzburg dan rekodnya tidak mengecewakan. Pada musim tersebut, Daka mencetak 24 gol daripada 31 perlawanan liga. Musim seterusnya, dia merekodkan 27 gol daripada 28 perlawanan.
Dua musim terakhir bersama Salzburg, penyerang kelahiran Zambia itu meledak 61 gol daripada 87 perlawanan kompetitif.
Ketajaman Daka sebagai penyerang prolifik meyakinkan pengurusan Leicester untuk menandatangani Daka dengan nilai perpindahan sebanyak 25 juta pound (RM141.5 juta).
DAKA membawa pulang bola perlawanan selepas meledak empat gol menentang Spartak Moscow baru-baru ini. — Reuters
Daka dikatakan bakal menggantikan Jamie Vardy yang semakin dimamah usia. Malahan kedua-dua pemain itu memiliki gaya permainan yang mirip.
Kedua-duanya cenderung memberi masalah kepada pihak lawan dengan larian pantas ke kawasan berbahaya pada masa yang tepat.
Mereka adalah penyerang dalam kotak penalti yang boleh diharapkan untuk melengkapi kemampuan kreatif pasukan.
Menurut The Analyst, kedua-dua pemain sangat aktif di dalam kotak penalti. Sebanyak 19 peratus sentuhan bola dibuat oleh Daka di Bundesliga musim lalu adalah dalam kotak penalti manakala Vardy melakukan 23 peratus daripada jumlah sentuhannya dalam kotak penati lawan.
Daka dan Vardy memiliki naluri yang tajam untuk mencari ruang melakukan rembatan. Catatan jangkaan gol (xG) setiap perlawanan musim lalu adalah 1.11, hanya kurang sedikit daripada rakan sepasukannya di Salzburg, Sekou Koita.
Sementara itu, Vardy mencatatkan xG dalam setiap perlawanan kompetitif (0.63) di EPL.
Nilai xG Vardy disokong oleh lapan penalti yang disempurnakan sepanjang musim manakala Daka hanya menyempurnakan satu penalti sahaja. Ini menunjukkan kebolehan Daka dalam mencari ruang melakukan rembatan ketika situasi pemainan terbuka.
Kepintaran Daka disokong oleh kebolehan fizikalnya. Seperti Vardy, Daka juga mampu melakukan larian pantas yang sukar disaingi oleh pemain pertahanan.
Musim lalu, Daka mencetak empat gol daripada situasi serangan balas pantas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram