MEMASUKI musim kelimanya bersama West Ham United, Declan Rice berkembang menjadi pemain terbaik yang bukan sahaja penting untuk kelabnya tetapi juga pasukan kebangsaan England.
Sewaktu Rice, 22, membuat debut profesionalnya, dia bermain di posisi bek tengah tetapi boleh bermain sebagai pemain tengah.
Namun apabila Rice mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama, dia semakin selesa bermain di hadapan pemain pertahanan.
Pada awalnya, Rice diberi peranan untuk bermain secara agresif. Rice akan memberi tekanan dan membentes pihak lawan bagi merebut semula bola.
Rice juga lebih fokus melakukan hantaran yang pendek dan selamat supaya dia boleh melindungi pemain pertahanan.
Namun Rice semakin berkembang dan kini lebih tenang dalam penguasaan bola serta jarang melakukan kesilapan atau memberi masalah kepada rakan sepasukannya.
Rice mampu 'memulakan' permainan menerusi hantaran jarak jauh yang baik menerusi kedua-dua kakinya selain memiliki kemahiran menggelecek ketika menyerang, sesuatu yang sukar dilihat daripada seorang pemain tengah bertahan.
Dia juga boleh membaca permainan dengan baik terutamanya ketika bertahan. Dia akan sering membuat 'interception' atau melakukan bentesan keras untuk mematahkan serangan pasukan lawan.
Menurut platform InStat, kebolehan terbaik Rice adalah mengatur permainan, sekali gus menyerlahkan tahapnya sebagai seorang pemain.
Rice merupakan salah seorang pemain tengah bertahan yang unik dan satu-satunya pemain yang setaraf dengannya adalah pemain Barcelona, Frenkie de Jong.
Walaupun Rice menggunakan tenaga dan kekuatannya untuk menggelecek, dia masih mampu mengekalkan tahap penguasaan bola yang cemerlang.
Rice ketika ini bermain di tahap terbaiknya dan kelab seperti Manchester United dan Chelsea dikatakan berebut untuk mendapatkan 'tandatangannya' pada jendela perpindahan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram