Klausa RM4.8 bilion untuk Pedri!


  • Podium
  • Khamis, 14 Okt 2021

PEDRI disifatkan sebagai jelmaan Messi di posisi pemain tengah. — Reuters
BARCELONA meletakkan klausa pelepasan sebanyak 1 bilion euro (RM4.8 bilion) dalam perjanjian kontrak baharu pemain mudanya iaitu Pedri.

Menurut laporan Marca, nilai klausa pelepasan itu adalah paling tinggi dalam sejarah kelab berkenaan, sekali gus memecahkan rekod terdahulu dipegang oleh Lionel Messi dan Antoine Griezmann.

Pedri bakal mengikat kontrak bersama Barcelona sehingga 2026.

Langkah Barcelona meletakkan klausa pelepasan setinggi itu susulan prestasi memberangsangkan ditunjukkan oleh pemain berusia 18 tahun itu dalam skuad utama sejak musim 2020/2021.

Pada musim lalu, Pedri melakukan 37 penampilan dalam saingan La Liga dan menjaringkan tiga gol serta tiga bantuan hantaran.

Pedri turut tersenarai dalam skuad kebangsaan Sepanyol pada kejohanan Euro 2020 dan temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Menurut bekas pengurus England, Fabio Capello, Pedri merupakan jelmaan Messi di posisi tengah.

"Saya menyukai Pedri. Saya belum pernah melihat pemain berusia 18 tahun dengan personaliti dan kualiti yang dimilikinya.

"Salah seorang pemain yang terbaik di dunia kerana dia memilikinya semuanya," ujar Capello.

Pengumuman kontrak baharu itu dijangka dilakukan oleh Barcelona pada Jumaat.

Selain Pedri, Barcelona turut merancang meletakkan klausa pelepasan untuk pemain mudanya yang lain seperti Gavi, Ronald Araujo dan Ansu Fati. - Agensi