SABTU ini, seluruh mata akan tertumpu ke Old Trafford untuk menyaksikan penampilan Cristiano Ronaldo yang kembali menyarung jersi Manchester United.
Pemain 36 tahun itu menyertai The Red Devils dari Juventus dengan ikatan dua setengah tahun dan dijangka akan melakukan debut kali kedua ketika melayan kunjungan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Rakan senegaranya, Bruno Fernandes yakin yang mentaliti juara dimiliki Ronaldo mampu menguatkan pasukan memburu kejuaraan di bawah pengurusan Ole Gunnar Solskjaer.
“Suasana akan jadi tegang, semua orang kenal Cristiano berada di sini. Semua orang yakin dan gembira dia kembali, begitu juga dengan pemain.
“Kami tahu apa yang dia mampu berikan dan fokus kami sama seperti Cristiano iaitu mahukan kemenangan. Dengan kehadirannya, kami tahu yang kami makin hampir untuk mendapatkan trofi,” katanya.
Ketika mula-mula menyertai United pada 2003, Ronaldo memenangi lapan trofi utama sepanjang enam musim di bawah pengurusan Alex Ferguson dan menjaringkan 118 gol buat Man.United.
Selepas berhijrah ke Real Madrid, Ronaldo terus cemerlang untuk muncul penjaring terbanyak kelab Sepanyol itu, meledak 451 gol sebelum merakam 101 jaringan bersama Juventus.
Tidak dapat dinafikan, kepulangan semula kapten Portugal itu ke kancah saingan EPL menghadirkan rasa gembira buat peminat. – Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram