PEMAIN bola sepak terkemuka, Cristiano Ronaldo dikenali dengan ketajamannya dalam melakukan penyudah menerusi sepakan dan tandukan di depan gol.
Statistik jaringannya yang begitu tinggi berjaya 'menenggelamkan' kelemahannya dalam sepakan percuma.
Ketika beraksi bersama Manchester United, Ronaldo kerap melakukan jaringan menerusi sepakan percuma yang menarik.
Bagi peminat United sendiri, pastinya mengingati sepakan percuma deras Ronaldo yang dilakukan sewaktu menentang Portsmouth dan Arsenal suatu masa dahulu.
Malahan jaringan pertamanya bersama United adalah sepakan percuma yang diambil dari bahagian tepi padang.
Menurut statistik, antara 2009 dan 2018, Ronaldo hanya menjaringkan 33 gol menerusi sepakan percuma dalam 444 percubaan ketika beraksi bersama Real Madrid, iaitu bersamaan dengan 7.3 peratus sahaja.
Di Juventus, Ronaldo hanya menjaringkan satu gol daripada 72 percubaan sepakan percuma yang dilakukan.
Statistik tersebut mengundang kecaman para penyokong Juventus di Twitter United pada Ahad.
Pada Sabtu lalu, United memuat naik gambar Ronaldo mengambil sepakan percuma dengan memakai jersi baharu kelab itu.
Para penyokong Juventus mengatakan United tidak boleh terlalu teruja dengan sepakan percuma Ronaldo.
Namun, peminat United sendiri tidak perlu bimbang dengan statistik berkenaan kerana kelab itu masih mempunyai beberapa pakar sepakan percuma lain seperti Paul Pogba, Bruno Fernandes dan Juan Mata.
Berkemungkinan Ronaldo akan diberikan peranan untuk mengambil sepakan penalti dan Fernandes menggalas tanggungjawab melakukan sepakan percuma pada musim ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram