Cavani dedah sebab lepaskan No 7


  • Podium
  • Jumaat, 03 Sep 2021

RONALDO pernah menyarung jersi No.7 ketika beraksi bersama Manchester United pada 2003 hingga 2009. —Agensi

JERSI No.7 antara kit berharga bagi Manchester United kerana pernah disarung beberapa pemain hebat Manchester United seperti George Best, Bryan Robson, Eric Cantona dan David Beckham.

Nombor keramat jersi itu pernah dipakai beberapa pemain tetapi kebanyakan mereka gagal menyerlah termasuklah Antonio Valencia, Memphis Depay dan juga Angel de Maria.

Musim lepas, jersi itu dipakai penyerang veteran Edinson Cavani dan ternyata dia menepati ciri untuk memakai nombor itu apabila menyerlah setiap kali diturunkan.

Tetapi bagi Cavanim dia tidak menganggap jersi No.7 membawa tuah kepadanya ketika beraksi di atas padang.

Justeru, penyerang Uruguay itu memilih untuk menyarung jersi No.21 bersama-sama pasukan kebangsaan Uruguay dan Manchester United.

Kebetulannya, Manchester United juga dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali ke-21 selepas kali terakhir menang pada 2013.

Pada masa sama, jersi No.7 itu bakal diwarisi oleh bintang bola sepak Portugal dalam penampilan keduanya bersama Manchester United.

Manchester United mengesahkan, penyerang itu akan berbuat demikian setelah kembali ke Old Trafford.

"Pemain tersohor itu memakai jersi itu ketika musim pertamanya di United, dan kami mengesahkan bahawa Ronaldo akan kembali menyarung jersi berkenaan, " lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan laman web rasmi kelab.

Selain itu, Ronaldo turut merakamkan penghargaan kepada Cavani.

"Saya juga tidak pasti adakah saya berpeluang mendapat kembali jersi No.7 berkenaan, jadi saya mengucapkan penghargaan kepada Edi atas sikapnya yang luar biasa," kata Ronaldo yang juga bekas penyerang Juventus.

Ronaldo, 36, telah beraksi dalam 292 perlawanan dan menjaringkan 118 gol untuk Manchester United pada tahun 2003 hingga 2009.

Dalam penampilan sulungnya bersama Manchester United, Ronaldo memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara UEFA.

Ronaldo dijangka kembali ke Old Trafford sebagai pemain Manchester United dan bakal menentang Newcastle United di tempat sendiri pada 11 September. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ronaldo, jersi, No.7