Man. United belum tentu juara EPL dengan kehadiran Ronaldo


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

KEPULANGAN Ronaldo ke Old Trafford belum cukup untuk membantu Man.United menamatkan kemarau trofi EPL. — AP

MESKIPUN menandatangani semula pemain bintang, Cristiano Ronaldo namun Manchester United dilihat belum mampu untuk menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kenyataan berani itu dilontarkan oleh bekas pemain Man.United sendiri, Gary Neville.

Neville berkata, Manchester City dan Chelsea merupakan pilihan utamanya untuk menjuarai EPL musim ini.

"EPL telah kembali ke peringkat tertinggi di Eropah dan Man.United bersaing dengan pasukan yang sangat bagus.

"Beberapa tahun lalu, saya mungkin mengatakan bahawa Man.United akan memenangi EPL dengan kelebihan 10 mata tetapi EPL musim ini sangat sengit.

"Saya meramalkan EPL akan dimenangi oleh Man.City, diikuti oleh Chelsea dan Man.United pula sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga," ujar Neville.

Tambah Neville, walaupun berjaya memikat pemain baharu seperti Ronaldo dan Raphael Varane musim ini, The Red Devils masih jauh ketinggalan berbanding Man.City yang memenangi EPL musim lepas dan Chelsea yang mendakap trofi Liga Juara-Juara.

"Saya ingin melihat Man.United meraih kejuaraan tetapi adakah saya fikir mereka akan meraihnya musim ini? Tidak, saya hanya cuba bersikap pragmatis," jelas Neville.

Terdahulu, Man.United mengumumkan perpindahan semula Ronaldo ke kelab berkenaan pada Jumaat lalu.

Ronaldo dijangka akan membuat penampilan pertamanya dalam EPL dalam tempoh 12 tahun ketika United melayan kunjungan Newcastle United di Old Trafford pada 11 September kelak.

Dia juga dijangka akan menyarung jersi no.28 - nombor jersinya ketika di Sporting Lisbon - gara-gara jersi nombor 7 yang sinonim dengannya kini menjadi milik Edinson Cavani. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram