MANCHESTER United harus meletakkan Cristiano Ronaldo di posisi penyerang jika mereka ingin menuntut prestasi terbaik daripada pemenang Ballon d'Or sebanyak lima kali itu, kata legenda kelab, Wayne Rooney.
Penjaring terbanyak Man.United sepanjang zaman itu memberitahu, 'mentaliti kemenangan' bekas rakan sepasukannya itu akan memberi pengaruh positif kepada pemain-pemain muda The Red Devils.
"Di mana saya akan memainkan Ronaldo? Sudah tentu sebagai penyerang. Dia adalah penyerang dan sembilan pemain luar yang lain di belakangnya mungkin harus melakukan lebih banyak kerja.
"Apabila anda memiliki seseorang seperti Ronaldo, anda inginkannya berada di dalam kotak penalti. Dia masih mahu menjadi yang terbaik dan saya yakin dia akan memberi impak besar pada mereka musim ini.
"Bagi pemain muda seperti Mason Greenwood, Marcus Rashford dan Scott McTominay, kehadiran Ronaldo akan membantu mereka," kata Rooney yang kini menjadi pengurus kelab Derby County.
Musim lalu, Ronaldo merupakan penjaring terbanyak di saingan Serie A dengan 29 gol.
Tambah Rooney, pengendali Man.United, Ole Gunnar Solksjaer kini mempunyai tekanan untuk memenangi piala selepas berjaya menandatangani beberapa pemain berkualiti yang dibawa masuk pada jendela perpindahan pemain kali ini.
Ronaldo merupakan pemain berprofil tinggi terbaharu yang menyertai United setelah mereka menandatangani pemain sayap, Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dan bek tengah, Raphael Varane dari Real Madrid.
Terdahulu, Solksjaer juga tidak menolak kemungkinan untuk meletakkan Ronaldo di posisi penyerang meskipun kapten Portugal itu banyak beraksi di bahagian sayap sepanjang kariernya selama ini. — Reuters
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram