KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa apabila dua jaringannya berjaya membantu A Seleção menjinakkan Republik Ireland 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Khamis.
Pada aksi Kumpulan A di Stadium Estádio Algarve itu, penyerang baharu Manchester United tersebut tampil meledak dua gol pada minit ke-89 dan 96, sekali gus mengesahkan kemenangan ketiga skuad kendalian Fernando Santos selepas mengharungi empat perlawanan.
Kemenangan yang memperkukuhkan kedudukan Portugal itu menyaksikan pemain berusia 36 tahun tersebut meledak gol ke-110 dan 111 bersama Portugal meskipun sepakan penaltinya terlebih dahulu dinafikan penjaga gol, Gavin Bazuni sebelum itu.
Dua gol Ronaldo ketika menentang Perancis di Euro 2020 lalu sebelum ini menyamai jaringan dilakukan legenda Iran, Ali Daei, yang menjaringkan 109 gol ketika menyarung jersi negara kuasa bola sepak Asia tersebut antara 1993 hingga 1996.
Bekas tonggak Juventus itu juga ketika ini menyamai rekod penampilan Sergio Ramos di pentas Eropah apabila merekodkan 180 penampilan bersama Portugal.
"Sejujurnya, saya tidak hanya gembira kerana berjaya mencipta rekod ini, tetapi juga detik-detik teristimewa bersama pemain-pemain Portugal lain untuk memenangi perlawanan ini.
"Dua gol pada penghujung babak perlawanan merupakan sesuatu yang terindah hasil komitmen dalam kalangan pemain Portugal yang membuktikan kami mampu melakukannya pada perlawanan ini. Saya amat bangga dengan semangat pemain-pemain Portugal," kata Ronaldo.
Pencapaian dilakar Ronaldo di laman sendiri itu secara tidak langsung meletakkan pemain tersebut sebagai antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.
Ronaldo dijangka berada dalam kesebelasan utama Man. United ketika melayan kunjungan Newcastle United di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram