Solskjaer letak Ronaldo di posisi baharu


  • Podium
  • Isnin, 30 Ogos 2021

RONALDO akan membantu bahagian serangan United dalam usaha merebut trofi musim ini. — AP

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan tentang posisi pemain baharu, Cristiano Ronaldo dalam pasukan itu kelak.

Ketika beraksi bersama United buat kali pertama pada 2003 hingga 2009, Ronaldo banyak bermain di posisi sayap.

Selepas dia meninggalkan United, Ronaldo banyak diletakkan di posisi penyerang tengah dan membuktikan ketajamannya dalam merobek gawang lawan.

Ia dibuktikan apabila Ronaldo mencatatkan 450 gol daripada 438 perlawanan bersama Real Madrid dan mencetak 101 gol daripada 134 perlawanan ketika beraksi di Juventus.

Menurut Solskjaer, beliau mahu Ronaldo lebih banyak beraksi dalam kotak penalti dan berkemungkinan pemain tersebut akan bertindak sebagai penyerang utama.

"Ronaldo telah berevolusi sebagai pemain. Dia lebih sebagai seorang penyerang tengah bagi saya sekarang ini," kata Solskjaer.

Kenyataan itu diungkapkan oleh Solskjaer selepas United meraih kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux pada Ahad.

Gol kemenangan United dijaringkan oleh bintang muda, Mason Greenwood pada minit ke-80.

Pada perlawanan malam Ahad, United menurunkan Raphael Varane dan Jadon Sancho dalam kebelasan utama buat kali pertama.

Para penyokong United terpaksa menunggu sehingga 11 September untuk melihat aksi Ronaldo di Old Trafford untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram