Legasi pekebun muda, 70 murid sekolah di Pulau Pinang teroka dunia pertanian


  • Hobi
  • Selasa, 27 Jan 2026

Subbarow turut menunjukkan kaedah vermikompos yang mudah, dengan memperlihatkan bagaimana cacing tanah mampu menguraikan sisa makanan.

SEDIKIT kotoran bukanlah penghalang bagi 70 orang murid sekolah di Pulau Pinang saat mereka dengan penuh teruja menggali tanah untuk menanam benih kecil dan memelihara tanaman sayur-sayuran mereka sendiri.

Murid-murid sekolah rendah dan menengah itu, diiringi 15 orang ibu bapa serta 10 guru, merupakan peserta program “Tanam Sayur Sendiri untuk Generasi Masa Depan” anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Program yang diadakan di premis CAP di Jalan Masjid Negeri, Jelutong itu memberi peluang kepada mereka untuk meneroka dunia berkebun sambil memupuk minat terhadap makanan segar dan berkhasiat.

BACA LAGI: Pemasaran digital naikkan status graduan, kebolehpasaran bukan sekadar konten media sosial

BACA LAGI: Tekun menganyam di usia emas, Zainab setia pertahan seni tradisi mengkuang

 

 

Program tersebut menekankan peranan penting sekolah dan guru dalam memupuk pendidikan alam sekitar.

 

Ia juga merupakan satu pengajaran tentang sains, kesabaran dan amalan hidup sihat, kata pegawai kanan pendidikan CAP, NV Subbarow.

Menurut beliau, program tersebut menekankan peranan penting sekolah dan guru dalam memupuk pendidikan alam sekitar.

Subbarow berkata, pelajar memperoleh pengetahuan praktikal mengenai pertumbuhan tumbuhan dan pertanian lestari melalui aktiviti berkebun serta pembelajaran secara langsung.

Tambahnya, aktiviti tersebut juga membantu membina kesedaran awal tentang perubahan iklim dan kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.

“Mendidik kanak-kanak sejak usia muda amat penting kerana aktiviti seperti berkebun membantu mereka kekal aktif sambil menerapkan nilai-nilai kehidupan yang penting.

“Menggali, menanam dan menyiram merupakan bentuk senaman ringkas yang menggalakkan kanak-kanak bergerak aktif dan kekal sihat, berbanding menghabiskan terlalu banyak masa bermain telefon,” ujarnya.

Subbarow berkata, para peserta mempelajari nilai kesabaran dan kreativiti apabila menjaga tanaman serta mereka bentuk kebun masing-masing, di samping membina penghargaan yang lebih mendalam terhadap pemakanan sihat.

“Dalam banyak program CAP, kanak-kanak mengenali nama sayur-sayuran seperti bendi, terung, bayam dan kacang, tetapi tidak tahu bentuknya.

“Aktiviti berkebun membantu merapatkan jurang itu dan menggalakkan mereka makan lebih banyak sayur-sayuran berbanding makanan ringan atau bergula,” jelasnya ketika perasmian program tersebut.

Subbarow turut menggesa pihak sekolah dan keluarga supaya memanfaatkan kawasan terbiar atau ruang kecil di rumah masing-masing, sebagai persekitaran pembelajaran hijau.

Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran, yang merasmikan program tersebut, berkata, inisiatif seperti ini amat sesuai untuk memupuk generasi baharu sebagai penjaga alam sekitar.

“Malaysia belum mencapai tahap sara diri dalam bekalan sayur-sayuran kerana kita mengimport sebanyak 54.6 peratus daripada keperluan sayur-sayuran.

“Harga sayur-sayuran juga semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Oleh itu, penglibatan rakyat amat diperlukan bagi mengurangkan atau mengatasi masalah ini,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada CAP atas penganjuran program berkenaan.

Rajendran berkata, pertanian bandar yang dilaksanakan secara kolektif oleh kumpulan atau keluarga mampu membantu memenuhi keperluan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa sesi latihan telah diadakan di kawasan pertanian bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang di sepanjang Lebuh Raya Rose, dan penambahbaikan lanjut sedang dirancang.

Tambahnya, majlis bandaraya juga sedang menjalankan aktiviti pengkomposan di kawasan Pulau Tikus bagi menggalakkan amalan lestari dalam kalangan komuniti.

Dalam program itu, Subbarow turut menunjukkan kaedah vermikompos yang mudah, dengan memperlihatkan bagaimana cacing tanah mampu menguraikan sisa makanan untuk mengurangkan sisa isi rumah serta menghasilkan baja organik.

“Dengan cara ini, kanak-kanak dapat memahami peranan cacing tanah dalam mengekalkan kesuburan tanah dan melindungi alam sekitar, di samping menggalakkan amalan lestari serta pengurangan sisa sejak usia muda,” jelasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram