‘Little Bornean Birdie’ raih naib juara, Dion Das Louis sekali lagi harumkan nama Malaysia di Sepanyol


  • Bonda
  • Ahad, 06 Jul 2025

Dion Das Louis bangga membawa budaya Sarawak ke pentas dunia di Sepanyol.

USIANYA baru sembilan tahun, namun pencapaian Dion Das Louis dalam dunia tarian sudah melepasi sempadan negara apabila meraih tempat kedua di pentas Dance World Cup 2025 yang berlangsung di Burgos, Sepanyol pada 4 Julai lalu.

Dion, penari cilik dari Kuching, Sarawak, lebih dikenali gelaran ‘Little Bornean Birdie’, mewakili Malaysia dalam kategori Mini Solo National and Folklore, bersaing dengan 34 peserta lain dari seluruh dunia. 

Persembahannya yang memukau, diinspirasikan daripada tarian Ngajat Iban dan simbolik dua burung ikonik Borneo iaitu burung ruai (great argus) dan kenyalang (enggang) selepas berjaya memikat juri dan mengumpul markah 93.8 mata, hanya ketinggalan 0.3 mata di belakang juara dari Jerman.

BACA LAGI: Dapur Jennifer Aniston cetus trend moden-rustik mewah menjelang 2026, fungsi bertemu estetika

BACA LAGI: Seperti mana tak benarkan remaja 13 tahun beli rokok, kenapa tiada had umur tegas untuk akses media sosial? — Pakar

"Saya agak gementar kerana ramai penari hebat dari pelbagai negara, tetapi sangat gembira dan bangga dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa," ujar Dion ketika ditemui The Borneo Post.

Minat mula berputik selepas menang pertandingan tempatan

Sebelum ini temu bual bersama Majoriti, ibunya, Edina Lanying, berkata, minat Dion terhadap seni tari bermula selepas memenangi Kids Talent 2022 di Kuching. 

Kemenangan itu menjadi titik tolak kepada perjalanan seni Dion, yang kemudian digelar ‘Little Bornean Birdie’ selepas mempersembahkan tarian etnik berkonsepkan burung kecil pada Kejohanan Malaysia awal tahun ini.

"Persembahan Dion menggabungkan elemen tarian kontemporari dan tradisional Sarawak dengan watak seekor burung kecil. Dari situlah gelaran itu melekat," jelas Edina.

Apa yang lebih mengagumkan, Dion tidak bergantung sepenuhnya pada latihan formal. 

Sebaliknya, dia banyak belajar secara kendiri melalui video YouTube, selain mendapat bimbingan terus daripada ibu bapanya, yang juga pernah menjadi penari kebudayaan.

"Kami sendiri pernah menari, jadi memang kami galakkan dan latih Dion dari rumah,” kata Edina yang bersama suaminya, Louis Lansam, terus menjadi tulang belakang kepada perkembangan bakat anak bongsu mereka itu.

Tarik perhatian dunia sejak 2024

Nama Dion mula meniti di bibir antarabangsa selepas berjaya menyinar di World Championship of Performing Arts 2024 di Long Beach, California, apabila meraih dua pingat emas serta dua perak dalam kategori Junior Ethnic Dance dan Junior Modelling. 

Lebih membanggakan, Dion turut dinobatkan sebagai All Division Champion dalam dua kategori tersebut ia satu pencapaian yang jarang dicapai oleh kanak-kanak seusianya.

"Doakan kejayaan Dion. Kami harap dia dapat bawa nama Malaysia lebih jauh di pentas dunia," kata ibunya penuh harapan.

Dengan semangat juang yang tinggi, sokongan keluarga yang utuh dan bakat luar biasa, Dion Das Louis membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk berdiri megah di mata dunia meskipun membawa bersama warisan budaya Borneo ke persada antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram