
ADA 'sesuatu' atau lebih tepat, sesuatu tentang karya seni Binti yang sukar dijelaskan.
Mungkin kita, cuba memahaminya secara harfiah akan menyebabkan kita terlepas maksud karyanya.
Sebagai salah satu nama baharu dalam dunia seni visual Kuala Lumpur, Binti telah meneroka pelbagai cabang seni, daripada seni persembahan, puisi, fotografi sehinggalah seni visual.
BACA LAGI: Sentuhan 'magis' dari kayu palet terpakai menjadi perabot, item hias ekslusif penuh gaya
Namun, dalam semua aspek karyanya, ada benang merah yang mengikat ekspresi diri asli dan tidak berpura-pura.
Menariknya, Binti lebih selesa untuk tidak menggunakan nama sebenar dalam profil profesionalnya, sebaliknya memilih dikenali hanya sebagai Binti.
Kini, menerusi pameran solo pertamanya berjudul Sesuatu Yang Something di Cult Gallery, Kuala Lumpur, penonton disajikan dengan kepelbagaian hasil karya yang menggambarkan sifat kreatifnya tidak terbatas serta identiti visual tersendiri.
Rojak itu budaya, bukan kesalahan
Pameran itu bermula dengan karya berjudul Kebenaran (Truth & Permission), empat baris puisi timbul yang ditulis dalam gabungan Bahasa Malaysia dan Inggeris.
Struktur ayatnya mungkin nampak 'salah' secara tatabahasa, tetapi bagi mereka yang biasa dengan bahasa rojak, ia cukup akrab.
"Inilah semangat utama pameran ini, ia satu jenaka tanpa 'punchline'. Cara pertuturan ini sangat dekat dengan rakyat Malaysia, mengalir lancar bila disebut, tapi boleh memberi kesan berbeza bergantung pada siapa yang mendengar," jelas Binti, 27, dalam satu temu bual di galeri tersebut.
Pameran yang berlangsung hingga 14 Julai itu tersusun rapi bagaikan sebuah jurnal hidup.
Enam siri karya yang dipamerkan membawa pengunjung menelusuri asal-usul, salasilah keluarga, kerjaya dan hubungan peribadi Binti.
Enam siri tersebut ialah: Main-Main, Entah Apa, Employee Of the Month: Funemployed, Cow & Aku, Finally Portrait dan Adult Lovesong.
Para pengunjung berhenti seketika di tangga untuk melihat siri 'Entah Apa' karya Binti di Cult Gallery.
Karya dari cebisan kenangan
Permainan bahasa dan pertindihan makna menjadi elemen penting dalam kebanyakan karyanya.
Namun, apa paling mencuri perhatian ialah kepelbagaian material digunakan seperti majalah lama, buku latihan sekolah, pelekat, gambar lama yang mana semuanya dijadikan kolaj berlapis-lapis bersama cat akrilik, tipografi dan tekstur yang sarat.
Binti mengakui dirinya seorang yang berhati-hati dalam penyusunan visual.
"Saya mungkin nampak ‘semak’, tapi saya sangat teliti dengan susunan karya. Kadangkala, saya guna semula lukisan lama yang tak jadi dan tanya diri kenapa dulu tak jadi? Boleh jadi sekarang?" katanya.
Siri Entah Apa, enam gandingan perkataan yang penuh permainan bunyi merupakan contoh terbaik.
Kata-kata itu pernah dilontarkan oleh mak ciknya ketika melihat hasil seni Binti buat pertama kali.
"Dia kata ‘entah apa apa entah’ masa itu saya terasa juga, keyakinan jatuh. Tapi sekarang saya fikir, dia pun betul memang tak jelas dan itu pun satu bentuk makna."
Para pengunjung melihat empat karya dari siri 'Cow Dan Aku' oleh Binti semasa pembukaan pameran 'Sesuatu Yang Something'.
Potret keluarga dalam bentuk dek kad
Salah satu karya yang mencuri tumpuan ialah Finally Portrait iaitu potret keluarga yang dibentuk seperti rumah daripada kad permainan.
Ibu bapa Binti diwakili Raja dan Permaisuri, abang sulung sebagai Ace, adik lelaki sebagai Jack dan adik perempuan sebagai nombor 10. Binti sendiri digambarkan sebagai ‘Joker’.
"Keluarga saya unik dengan cara mereka tersendiri. Susunan itu macam tangan poker yang menang, semua dalam suit ‘hearts’, lambang kasih sayang saya terhadap mereka."
Dalam karya itu juga, ibunya digambarkan dalam keadaan selepas solat, masih lengkap berbaju telekung dengan pemandangan yang cukup biasa, tetapi menyentuh hati.
Dalam 'Finally Portrait', Binti membina secara literal sebuah 'rumah kad' menggunakan imej ibu bapa dan adik-beradiknya, MJ, Jane, Adam, Sarby, dan Kimmy G sekali gus menjadikan keluarga sebagai seni bina yang rapuh.
Seni dan kerja harian yang bercampur
Seperti kebanyakan artis muda, perjalanan seni Binti dipenuhi dengan kerja sambilan.
Siri Funemployed merupakan reaksi kreatif terhadap realiti itu apabila 12 keping gambar, mewakili setiap bulan dalam setahun, dengan latar belakang yang sama tetapi berpakaian berbeza mengikut pekerjaan atau peranan ketika itu.
"Ia diinspirasikan daripada dinding 'Employee of the Month’. Saya ambil gambar di rumah, tapi saya sentiasa lakukan benda lain seperti berubah mengikut masa. Ia juga cara saya dokumentasikan emosi dan perkembangan diri sepanjang tahun."
Latar belakang Binti dalam bidang filem, sinematografi dan kewartawanan muzik memperkaya lagi gaya karyanya yang bersifat lintas disiplin.
"Benda-benda harian yang kita buat seperti masak, jaga orang, selesaikan konflik. Semua itu pun membentuk siapa diri kita. Itu pun satu bentuk kerja, walaupun tidak rasmi."
Binti bersama beberapa potret dari siri 'Funemployed' miliknya, yang merupakan sebahagian daripada pameran solo sulungnya bertajuk 'Sesuatu Yang Something' di Cult Gallery, Kuala Lumpur.
Ciuman dan wajah yang tak dikenali
Karya paling besar dalam pameran itu ialah Adult Lovesong, salah satu siri yang menggabungkan 135 gambar wajah-wajah dari Instagram, termasuk rakan, kenalan dan orang asing.
Setiap gambar hanya dicetak hingga paras hidung untuk mengekalkan privasi, kemudian ditambah dengan cap bibir sebenar Binti menggunakan gincu.
"Saya memang seorang romantik. Bila saya berbual dengan pasangan, saya selalu fikir kalau saya tak jumpa dia, mungkin saya akan luah kata-kata indah ini pada orang lain. Hidup saya mungkin ikut haluan lain," katanya.
Pasangan yang dimaksudkan ialah Amat, seorang pemuzik dan pembikin filem.
Bersama-sama, mereka membentuk duo seni “MATI”, gabungan nama mereka.
Sebelum ini, mereka juga pernah berpameran sebagai pasangan seni.
"Terima kasih cinta bermaksud menolak semua versi cinta lain. Karya ini menunjukkan setiap wajah yang saya tidak akan panggil kekasih, setiap insan yang saya tak akan kongsi luka paling dalam." — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram