'Gypsum board' solusi renovasi rumah jimat tanpa perlu pecah dinding


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Bagi pemilik rumah yang menginginkan transformasi praktikal tanpa kos tinggi atau kekacauan besar, gypsum board terbukti sebagai solusi terbaik.

DALAM dunia renovasi moden hari ini, ramai pemilik rumah mula mencari alternatif yang lebih cepat, bersih dan menjimatkan kos berbanding kaedah tradisional seperti membina dinding konkrit atau batu bata.

Salah satu bahan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan kontraktor dan pereka dalaman adalah gypsum board.

Perkongsian oleh syarikat KN Interior di Facebook baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila mereka menunjukkan bagaimana sebuah bilik mini stor berjaya diwujudkan dalam ruang terhad tanpa perlu mengubah struktur asal rumah.

BACA LAGI: Transformasi rumah kecil celah bangunan, minimalis tropika 'hidupkan' kediaman usang

BACA LAGI: Bola sepak ke 'floristry', pengalaman di UK angkat Azmy Osman jadi Pakar Bunga Negara

"Pelanggan kami ingin satu bilik untuk dijadikan mini stor. Memandangkan ruang sangat terhad, kami cadangkan guna pocket door bersama gypsum board.

"Hasilnya, ruang rumah nampak lebih kemas walaupun sempit, dan cara buka pintu pun sangat praktikal," kata KN Interior dalam Facebook.

Antara pemasangan gypsum board direka untuk menjadi sebuah bilik.

Rangka metal + gypsum board = Dinding siap tanpa debu batu

Proses pemasangan dimulakan dengan membina struktur asas menggunakan metal stud yang berfungsi sebagai rangka tulang.

Kemudian, permukaan diratakan dan ditutup sepenuhnya menggunakan gypsum board.

Ini termasuk bahagian yang akan memegang pintu serta keseluruhan sisi bilik tersebut.

Penggunaan gypsum board memudahkan kerja kerana ia ringan, mudah dibentuk dan tidak memerlukan kerja memecah lantai atau dinding sedia ada.

Ia juga mengurangkan risiko habuk dan kekotoran yang biasanya berlaku dalam renovasi konvensional.

"Bahagian dalam kami pasang pintu juga. Kedua-dua sisi kami tutup dengan gypsum board, dan segala sambungan atau line akan diratakan sepenuhnya untuk hasil yang bersih," jelas mereka lagi.

Kos pemasangan gypsum board di Malaysia secara umumnya masih berada dalam kategori mampu milik.

Finishing kemas dan estetik bersih

Selepas struktur siap, KN Interior menyempurnakan kerja dengan cat undercoat sebelum menyapu dua lapisan cat putih sebagai kemasan akhir.

Pendekatan itu bukan sahaja mempercepatkan proses renovasi, malah menghasilkan ruang baharu yang kelihatan bersatu dengan struktur asal rumah.

Kelebihan tambahan menggunakan gypsum board ialah ia boleh dicat semula, ditampal atau diubah dengan mudah jika perlu jika nak dibanding dinding konkrit yang memerlukan kerja berat untuk diubah.

Gypsum board.semakin mendapat tempat dalam kalangan kontraktor dan pereka dalaman.

Solusi praktikal untuk rumah sempit

Dengan penggunaan gypsum board dan reka bentuk pintu tersembunyi seperti pocket door, pemilik rumah kini boleh menambah bilik atau ruang simpan dengan lebih mudah tanpa perlu risau tentang kos besar atau ubah suai struktur utama rumah.

Projek seperti itu membuktikan bahawa inovasi dalam bahan binaan bukan hanya untuk estetika, tetapi juga untuk menjadikan hidup harian lebih praktikal dan selesa.

Kos pemasangan gypsum board di Malaysia

Tidak hanya sesuai untuk menghasilkan partition atau siling baharu, bahan gypsum board juga terbukti menjadi langkah jimat dan praktikal bagi mereka yang ingin menambah ruang seperti mini stor atau bilik kecil tanpa perlu memecahkan dinding sedia ada.

Kos pemasangan gypsum board di Malaysia secara umumnya masih berada dalam kategori mampu milik.

Untuk kerja-kerja asas seperti membina dinding partition, harga anggaran sekitar RM7 hingga RM15 sekaki persegi, bergantung kepada jenis rangka yang digunakan (kebiasaannya metal stud), kualiti gypsum board, dan upah tukang.

Bagi siling rata biasa pula, kosnya lebih rendah, iaitu sekitar RM6 hingga RM10 sekaki persegi dan jika melibatkan rekaan kompleks seperti feature wall atau kombinasi dengan elemen hiasan, harga boleh meningkat kepada RM10 hingga RM25 sekaki persegi.

Untuk projek-projek kecil seperti membina satu ruang stor atau menutup sudut tertentu dalam rumah, kos keseluruhan boleh bermula serendah RM300 hingga RM800, bergantung pada saiz ruang dan kemasan akhir yang dipilih.

Justeru, bagi pemilik rumah yang menginginkan transformasi praktikal tanpa kos tinggi atau kekacauan besar, gypsum board terbukti sebagai solusi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram