
BUKAN semua orang mampu memiliki rumah elit dan mewah seperti kayangan diraja.
Tapi bagi golongan elit India, termasuk ahli politik, hartawan dan selebriti, rumah mereka bukan sekadar tempat berteduh.
Ia adalah simbol status, ketenangan dan gaya hidup mewah yang direka khas mengikut cita rasa masing-masing.
BACA LAGI: Chanthaburi syurga permata Asia Tenggara, jadi hab sumber perhiasan diri wanita
Privasi dan gaya hidup jadi keutamaan
Menurut pereka dalaman terkenal, Rimpy Pilaannia, rumah tokoh politik selalunya perlu seimbang iaitu ada ruang rasmi untuk tetamu, sidang media dan pertemuan.
Tetapi pada masa sama ada juga ruang peribadi yang penuh ketenangan dengan penggunaan warna neutral, pencahayaan lembut dan bahan-bahan seperti kayu bagi mewujudkan suasana yang selesa dan tidak terlalu menonjol.
Sementara itu, usahawan dan pemimpin korporat pula mahukan rumah yang moden dan praktikal.
Reka bentuk mereka lebih minimalis, tapi tetap mewah dengan kemasan berkualiti tinggi, sistem automasi canggih, susun atur terbuka dan pilihan perabot yang eksklusif.
"Ada klien yang mahu rumah terasa seperti spa kerana selalu penat bekerja. Ada juga yang suka ruang hiburan besar sebab selalu jadi tuan rumah. Malah, ada yang mahu warna-warna ceria dan seni yang mencerminkan personaliti mereka," kata Rimpy.
Rumah bukan untuk dipamer, tapi untuk dihuni dengan jiwa
Katanya lagi, ramai klien tidak mahu rumah yang nampak seperti galeri seni atau pameran mewah semata-mata.
Mereka lebih menghargai rekaan yang ada ‘jiwa’ seperti ruang yang benar-benar menggambarkan siapa mereka dan apa yang mereka perlukan dalam kehidupan seharian.
"Keselesaan, privasi dan rasa ‘inilah rumah aku’ adalah kunci. Itulah kemewahan sebenar bagi golongan tersebut," katanya.
Kemewahan dengan sentuhan tradisi
Dennis Ebenezar, pengasas firma binaan Deejos, pula menjelaskan bahawa rumah golongan HNI (High Net-Worth Individuals) di India sering kali menggabungkan rekaan moden dari luar negara dengan seni bina tradisional India.
Antara ciri-ciri rumah mewah yang biasa diminta:
* Dinding marmar dan kemasan ‘custom made’
* Pagar dan tembok tinggi untuk privasi maksimum
* Sistem keselamatan dan televisyen litar tertutup (CCTV) penuh satu rumah
* Pawagam mini dan ruang hiburan dalam rumah
* Bahan binaan eksklusif dari luar negara
* Sistem rumah pintar berteknologi tinggi
Bagi ahli politik pula, permintaan mereka lebih menjurus kepada keseimbangan antara tugas rasmi dan kehidupan keluarga. Rumah mereka selalunya ada:
* Ruang mesyuarat khas yang terlindung
* Pintu masuk dan keluar rahsia untuk elak gangguan
* Rekaan yang diinspirasikan daripada seni bina tradisional India
* Kawalan keselamatan yang ketat
Rumah sebagai cerminan diri dan legasi
Menurut Dennis, setiap rumah mewah yang dibina untuk golongan itu adalah refleksi personaliti dan pencapaian mereka.
Arkitek dan pereka dalaman perlu betul-betul faham kehendak klien, menghormati budaya tempatan dan pastikan setiap projek disiapkan mengikut masa yang dijanjikan.
“Rumah-rumah ini bukan sekadar mewah, tapi ia mewakili siapa mereka dan apa yang mereka tinggalkan sebagai legasi,” katanya.
Untuk golongan biasa, semua itu mungkin kelihatan seperti impian.
Tapi bagi golongan elit, inilah realiti yang mana rumah bukan sekadar dinding dan bumbung, tapi sebuah dunia peribadi direka mengikut irama kehidupan mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram