Demi ikhtiar terakhir dapatkan zuriat, pasangan negara jiran cari alternatif cuba rawatan IVF di Malaysia


  • Relaks
  • Ahad, 04 Mei 2025

Rose berkongsi rawatan IVF di Malaysia mungkin percubaan kali terakhir dipenuhi doa dan harapan.

RAMAI membayangkan perkahwinan sebagai satu kisah indah apabila dua insan bersatu, membina mahligai bahagia dan menyambut tangisan pertama si kecil yang dinanti-nanti.

Namun, tidak semua pasangan diberi jalan mudah apabila ada yang terpaksa menanti sebulan, setahun malah terus menunggu bertahun-tahun, dengan harapan semakin menipis.

Hari-hari berlalu dengan doa tidak pernah putus, namun yang hadir hanyalah sunyi.

BACA LAGI: Bagai melangkah masuk ke era 50-an, peralatan gaya vintaj pelengkap dapur stail retro

BACA LAGI: Mihrab 3D jadikan ruang solat lebih eksklusif, mendamaikan, nilai estetika istimewa dalam kediaman

Air mata menjadi peneman setiap kali harapan yang ditabur tidak membuahkan hasil.

Tinggallah ruang kosong di hati, menanti untuk diisi dengan suara kecil yang belum kunjung tiba.

Soalan-soalan biasa daripada keluarga atau rakan "bila nak ada anak?" mungkin dilontarkan tanpa niat menyakitkan, tetapi hanya Tuhan yang tahu betapa pedihnya luka di hati cuba disembunyikan di balik senyuman terpaksa dipakai.

Bagi ramai pasangan, jalan terakhir yang tinggal hanyalah mencuba rawatan kesuburan seperti persenyawaan in-vitro (IVF).

Sebuah ikhtiar yang bukan sahaja mahal, malah menyakitkan dari luar dan dalam.

Setiap hari, tubuh disuntik dengan hormon, temu janji di klinik menjadi rutin dan prosedur kecil yang menyakitkan harus dilalui.

Selain itu, ada yang sanggup berhutang demi menanggung kos rawatan IVF dan ada juga merentas sempadan negara, menukar doktor berkali-kali, mencuba apa sahaja dari rawatan moden hinggalah ke petua orang lama, semuanya kerana hati belum sanggup menyerah.

Kerana jauh di sudut jiwa, masih ada secebis harapan bahawa mungkin, suatu hari nanti, Tuhan akan makbulkan doa yang selama ini disulam dengan air mata dan penantian tidak pernah putus.

Namun yang paling menyesakkan ialah hakikat bahawa walaupun segala usaha dicurahkan, tiada sesiapa pun dapat menjamin bahawa benih harapan itu akan bertukar menjadi kehidupan dinanti-nantikan.

Proses rawatan IVF.

Sama juga dugaan yang dilalui Rose Salimm apabila ikhtiar terakhirnya melakukan rawatan IVF di Malaysia selepas tidak berjaya di Singapura.

"Bukan percubaan pertama. Bukan juga kali pertama hati hancur."

Rose berkongsi rawatan IVF di Malaysia mungkin percubaan kali terakhir dipenuhi doa dan harapan untuk seorang insan kecil yang masih mereka percaya akan hadir.

Di media sosial, dia berkongsi perjalanannya yang menyentuh hati dari Singapura ke Johor Bahru, bukan untuk bercuti, apatah lagi atas urusan kerja, tetapi demi menjalani rawatan IVF buat kali terakhir.

Langkahnya ke seberang tambak bukan hanya fizikal, tetapi juga emosional kerana IVF bukan rawatan mudah.

Bagi wanita seusia Rose, rawatan itu di Singapura bukan saja mahal, tetapi turut terbatas dari segi syarat umur.

 

 

Maka Johor Bahru menjadi alternatif bukan sahaja lebih mampu milik, malah membuka peluang bagi mereka yang sudah di penghujung statistik kesuburan.

Namun kos bukan satu-satunya pertimbangan apabila di sebalik setiap keputusan dan perjalanan, ada hati kuat, pasangan yang setia berdiri di sisi, dan impian masih menyala walaupun telah berkali-kali diuji.

IVF bukan sekadar proses perubatan kerana ia adalah ujian emosi yang dalam apabila setiap suntikan bukan sekadar jarum di kulit, tapi satu suntikan harapan ke dalam jiwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram