
DALAM dunia reka bentuk dalaman hari ini, gaya retro ala 50-an kembali mendapat tempat istimewa dalam kalangan pemilik kediaman, terutamanya bagi mereka yang ingin mewujudkan suasana klasik dan penuh karakter.
Kalau dulu peralatan dapur hanya tentang fungsi, sekarang lain ceritanya.
Gaya retro yang memerlukan elemen vintaj bukan saja cantik dipandang, bahkan aura klasiknya 'lain macam'.
BACA LAGI: Rumah sudah siap, jangan terus masuk! Berikut panduan jadi pemilik bijak
BACA LAGI: Hati-hati mungkin ada di rumah anda, 5 warna penyumbang stres lepas penat bekerja
Antara ruang paling sesuai untuk diberi nafas retro ialah dapur kerana ia hari ini ia bukan sekadar tempat memasak, malah menjadi ruang sosial isi rumah bersantai.
Salah satu cara paling mudah membawa elemen retro ke dalam dapur adalah melalui penggunaan peralatan elektrik berkonsepkan gaya vintaj.
Meskipun berpenampilan klasik, kebanyakan peralatan itu hari ini direka dengan teknologi moden yang menjadikan ia menarik dari segi estetik, praktikal dan efisien.
Ciri-ciri peralatan dapur gaya retro:
Peralatan vintaj lazimnya menampilkan reka bentuk membulat, warna pastel lembut atau rona terang yang menyerlah serta perincian logam berkilat seperti krom.
Gaya itu banyak dipengaruhi reka bentuk era 1950-an dan 1960-an, menjadikannya pilihan popular bagi mereka yang menggemari unsur nostalgia dan kehangatan suasana dahulu kala.
Antara peralatan gaya vintaj jadi pilihan:
Pemanggang roti gaya vintaj sesuai digunakan walaupun di ruang yang terhad.
Pemanggang roti (toaster)
Kecil dan mudah diletakkan di mana-mana ruang, pemanggang roti gaya vintaj bukan sahaja berfungsi untuk penyediaan sarapan, malah turut menjadi elemen hiasan yang memperindah permukaan dapur.
Ia sesuai digunakan walaupun dalam ruang yang terhad.
Peti sejuk vintaj dianggap perabot utama dalam dapur retro.
Peti sejuk
Lebih daripada sekadar alat penyejuk makanan, peti sejuk vintaj dianggap sebagai perabot utama dalam dapur retro.
Contohnya peti ais jenama Smeg yang ikonik berwarna meriah seperti merah, biru muda atau kuning mustard, ia mampu menjadi titik tumpu dalam reka bentuk keseluruhan ruang dapur.
Pengadun gaya retro menjadi pilihan untuk menambahkan nilai estetika pada ruang kerja dapur.
Pengadun (mixer)
Bagi pemilik dapur yang luas dan sering menyediakan hidangan berskala besar, pengadun gaya retro seperti Kitchenaid menjadi pilihan ideal.
Ia kebiasaannya diperbuat daripada keluli tahan karat dengan rekaan ergonomik dan bentuk yang elegan.
Di samping fungsi utama, ia turut menambahkan nilai estetika pada ruang kerja dapur.
Cerek vintaj sangat sesuai untuk penggemar teh dan minuman panas.
Cerek elektrik
Cerek elektrik berkonsepkan vintaj sangat sesuai untuk penggemar teh dan minuman panas.
Terdapat dalam pelbagai saiz dan warna, ia boleh dipadankan dengan tema dapur dengan menawarkan keseimbangan antara gaya serta fungsi harian.
Pemerah jus vintaj memudahkan proses penggunaan dan pembersihan.
Pemerah jus
Peralatan itu menggabungkan rekaan ceria dan perincian logam yang moden, menjadikannya bukan sahaja praktikal dalam penyediaan jus, tetapi juga menarik secara visual.
Reka bentuknya yang ringkas memudahkan proses penggunaan dan pembersihan.
Mesin kopi vintaj popular bagi pencinta kopi yang inginkan pengalaman barista di rumah.
Mesin kopi
Mesin kopi vintaj direka dengan estetik klasik seperti bentuk membulat dan warna pastel, namun dilengkapi teknologi semasa untuk menyediakan pelbagai jenis minuman panas.
Sama ada menggunakan kapsul atau serbuk kopi, ia adalah pilihan popular bagi pencinta kopi yang inginkan pengalaman barista di rumah.
Kesimpulannya, pemilihan peralatan dapur berkonsepkan vintaj bukan sekadar soal gaya, tetapi juga cerminan citarasa dan keperibadian pemilik rumah.
Ia membawa elemen kehangatan, keunikan dan keselesaan ke dalam dapur menjadikan ia lebih daripada sekadar ruang memasak, malah ruang yang menyenangkan untuk diluangkan masa bersama keluarga.
Dengan keseimbangan antara reka bentuk klasik dan teknologi moden, dapur bergaya retro mampu memberi nilai tambah kepada kediaman anda dari sudut estetika serta praktikaliti.
Dalam membuat keputusan, ambil kira keperluan harian, keluasan ruang dan gaya hidup anda, agar dapur impian yang dibina bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga berfungsi dengan baik dalam jangka masa panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram