Cantik dari dapur, brokoli dan bawang miliki manfaat cantikkan rambut, elak gugur


  • Sihat
  • Selasa, 29 Apr 2025

Rambut kering, rosak atau kusam akan mendapat manfaat daripada keupayaan brokoli untuk menjadikannya lebih bersinar.

SIAPA sangka, makanan yang biasa didapati di dapur sebenarnya boleh menjadi kunci untuk kulit dan rambut menjadi lebih sihat.

Tiga bahan seperti biji sawi, brokoli dan bawang kini semakin popular dalam rutin kecantikan semula jadi sehingga menghasilkan produk-produk unik yang penuh manfaat.

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, banyak bahan yang dahulunya hanya digunakan untuk memasak, kini menjadi ramuan utama dalam produk kecantikan seperti minyak, krim, syampu, serum dan pencuci muka.

BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis

BACA LAGI: Ketahui mengapa kita tidak dapat mengingati apa yang berlaku sewaktu bayi

Minyak biji sawi juga mampu merangsang pertumbuhan rambut. — Gambar hiasan

Kalau sebelum ini kita sudah biasa menggunakan lemon, madu, minyak zaitun dan gula, kini brokoli, biji sawi dan bawang pula memiliki kesan yang sangat hebat untuk kulit dan rambut.

Walaupun ramai kurang gemar memakan brokoli, sebenarnya sayuran itu kaya dengan khasiat. 

Dalam dunia kecantikan, minyak brokoli sangat membantu untuk melembapkan kulit terutama kulit kepala yang kering dan sensitif.

Bukan itu sahaja, rambut yang kering, rosak atau kusam akan nampak lebih bersinar, lembut dan mudah diurus selepas menggunakan produk berasaskan brokoli. 

Ia juga membantu mengurangkan rambut kusut tanpa perlu berusaha keras.

Selain memberi perasa kepada makanan, biji sawi juga mampu merangsang pertumbuhan rambut.

Ia membantu menguatkan rambut supaya lebih sihat dan tidak mudah gugur.

Bawang merah kaya dengan sulfur yang membantu merangsang pertumbuhan rambut baharu. — Gambar hiasan

Dahulu orang menggunakan masker rambut daripada biji sawi tetapi sekarang ada pilihan lebih mudah seperti minyak dan syampu biji sawi yang berkesan tanpa bau kuat. 

Biji sawi juga baik untuk kulit sehingga mampu membantu menjadikan kulit lebih berseri dan menegangkan kulit yang sudah mula menunjukkan tanda-tanda penuaan.

Bawang terutama bawang merah kini menjadi popular dalam dunia kecantikan. 

Kebiasaannya ia digunakan sebagai krim, masker dan serum untuk rawatan kulit dan rambut.

Bawang merah pula kaya dengan sulfur yang membantu merangsang pertumbuhan rambut baharu. 

Selain itu, sifat pembersihannya sangat berkesan untuk melawan jerawat dan membantu menghilangkan parut sehingga menjadikan kulit lebih bersih dan sihat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram