[VIDEO] Naskhah The Last Dance julang nama Michelle Wai, rangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik HKFA


  • Hiburan
  • Selasa, 29 Apr 2025

Michelle Wai mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik buat kali pertama di HKFA ke-43.

PELAKON Michelle Wai mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik buat kali pertama bagi Anugerah Filem Hong Kong (HKFA) ke-43 yang berlangsung pada Ahad. 

Kemenangan itu diperoleh menerusi lakonannya yang menyentuh hati dalam filem The Last Dance yang mengetengahkan makna kehidupan dan kematian melalui ritual pengebumian masyarakat Tao.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan pertama merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik buat Wai yang sudah berkecimpung dalam industri selama 17 tahun. 

Aktres berusia 40 tahun itu memegang watak sebagai seorang paramedik ambulans dan anak kepada seorang sami Tao yang tegas, lakonan veteran Michael Hui. 

BACA LAGI: Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis

BACA LAGI: Cantik dari dapur, brokoli dan bawang miliki manfaat cantikkan rambut, elak gugur

Meskipun Hui, 82, terlepas peluang untuk kembali menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik, tetapi anugerah yang pernah dimenanginya pada HKFA 1982 menjadikan persembahannya tetap mendapat pujian ramai.

Turut membawa pulang anugerah daripada filem The Last Dance ialah pelakon Tommy Chu, 42, yang memainkan watak adik kepada Michelle Wai.

Beliau diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dengan trofi pertama yang diraihnya di HKFA. 

Filem itu juga mencatat kejayaan lain apabila berjaya memenangi Lakon Layar Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.

Dalam perkembangan lain, suasana HKFA tahun ini turut diwarnai dengan kejayaan filem Papa, yang menyentuh tema kekeluargaan dan kesedihan pasca tragedi. 

Sean Lau memenangi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi wataknya sebagai seorang bapa yang cuba berdamai dengan trauma.

Pelakon veteran Sean Lau, 61, memenangi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi wataknya sebagai seorang bapa yang cuba berdamai dengan trauma selepas anak remajanya membunuh ibu dan adiknya sendiri. 

Filem itu diinspirasikan daripada kes pembunuhan Heung Wo Street pada 2010.

Lau sebelum ini telah tiga kali memenangi anugerah yang sama menerusi Detective Vs Sleuths (2022), Overheard 3 (2014) dan My Name Is Fame (2006). 

Dalam ucapan kemenangannya, beliau merakamkan penghargaan kepada pengarah dan penulis skrip Papa, Philip Yung serta isterinya yang juga bekas pelakon, Amy Kwok. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bapa sebenar dalam kes tersebut yang memberi keizinan untuk kisahnya diangkat ke layar perak.

Rakan pelakon Papa, Jo Koo, 47, dan pelakon baharu Dylan So, 18, masing-masing memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Persembahan Baharu Terbaik.

Namun, filem aksi jenayah Twilight Of The Warriors: Walled In muncul sebagai pemenang terbesar malam itu dengan sembilan anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Soi Cheang, 52. 

Filem yang berlatarbelakangkan Kota Berdinding Kowloon pada era 1980-an itu diadaptasi daripada novel City Of Darkness karya Yuyi dan komik oleh Andy Seto.

Dibarisi pelakon ternama seperti Raymond Lam, Louis Koo dan Sammo Hung serta bintang muda seperti Terrance Lau, Tony Wu dan German Cheung, filem itu turut memenangi anugerah untuk Sinematografi Terbaik, Penyuntingan Filem Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Koreografi Aksi Terbaik.

Dalam ucapan penerimaannya, Louis Koo, 54, yang memainkan watak ketua dalam Walled City menyeru agar pelakon generasi baharu terus memacu industri perfileman Hong Kong ke tahap yang lebih gemilang.

Sementara itu, Pengarah Baharu Terbaik diberikan kepada Robin Lee menerusi dokumentari Four Trails, manakala Filem Bahasa Cina Asia Terbaik dimenangi oleh filem Taiwan Old Fox arahan Hsiao Ya-chuan yang dibintangi oleh Liu Kuan-ting.

Penghormatan tertinggi malam itu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat dianugerahkan kepada pengarah tersohor, Tsui Hark dan penerbit filem, Shi Nan Sun atas sumbangan besar mereka dalam dunia perfileman. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram