
PEMPENGARUH, Kasih Iris Leona baru-baru ini menyuarakan ketidaksetujuan terhadap pandangan sempit yang menganggap rugi jika wanita berpendidikan tinggi tetapi memilih untuk menjadi suri rumah.
Dalam satu sesi soal jawab di Instagram Story, apabila ditanya mengenai wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah, Leona menjawab dengan tegas, 'Adakah ia benar-benar satu pembaziran untuk belajar tinggi?'.
Leona menegaskan bahawa pendidikan bukan hanya untuk mengejar kerjaya tinggi dalam dunia korporat.
Sebaliknya, ilmu yang digunakan boleh dimanfaatkan dalam banyak aspek kehidupan terutamanya dalam mendidik anak-anak dan membina keluarga bahagia.
"Bukan semua orang mahu bekerja di pejabat. Menjadi ibu sepenuh masa adalah pengorbanan yang sangat besar.
"Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu yang berpendidikan akan sentiasa beruntung kerana mendapat bimbingan yang berharga," jelas Leona.
Mengulas lanjut, Leona menyatakan bahawa peranan suri rumah lebih daripada sekadar menjaga rumah iaitu ia adalah kerja yang penting dalam mencorakkan masa depan dan nilai-nilai keluarga.
"Seseorang perlu membesarkan anak-anak dan itu kerja sebenar ," katanya.
Leona turut berkongsi rasa syukur kerana dibesarkan oleh seorang ibu yang sentiasa ada untuknya.
"Saya takkan dapat tukar pengalaman bersama ibu dengan apa-apa benda di dunia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter , Facebook , Instagram , WhatsApp Channel dan Telegram