[VIDEO] Ibu main peranan suntik keyakinan, Puteri Rafasya jayakan watak hantu pada usia muda


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Puteri Rafasya sudah dua kali berjaya menjayakan watak sebagai hantu meskipun baru berusia 14 tahun.

BUKAN mudah untuk seorang kanak-kanak beraksi sebagai hantu di layar perak, apatah lagi dalam suasana penggambaran yang gelap.

Namun, kemampuan pelakon cilik Puteri Rafasya menonjolkan bakat dalam filem terbaharunya, Telaga Suriram mencuri perhatian ramai.

Manakan tidak, naskhah mistik Osman Ali itu bukan pengalaman pertama Puteri Rafasya dalam menjayakan watak seram. 

BACA LAGI:  Ibu dihalang jumpa anak walau ada perintah mahkamah, pihak ingkar boleh dikenakan hukuman penjara — Peguam Syarie

BACA LAGI:  Beri sinar baharu untuk kesihatan kulit wanita, vitamin B12 bantu masalah dermatitis

Puteri Rafasya berlakon watak sebagai hantu dalam filem Telaga Suriram.

Sebelum ini, pelakon cilik yang pernah membintangi drama popular Rindu Awak Separuh Nyawa itu pernah menjayakan watak hantu dalam filem Orang Gaji Puaka ketika berumur sembilan tahun.

"Dulu saya pernah juga berlakon jadi hantu juga, tetapi waktu itu penggambaran dalam rumah saja. Kali ini lebih lasak, ada aksi stunts dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Di sebalik wajah comel dan lakonan berani itu, Puteri Rafasya mengakui bahawa kekuatan sebenar datang daripada figura ibunya, Fatin Aliza Salmi, 35, yang sentiasa ada di sisi.

"Sebelum ke set, ibu akan pesan untuk baca doa dulu dan minta saya yakini diri yang saya boleh buat. Tapi yang paling penting, dia selalu ada dengan saya. Ke mana saja saya pergi, ibu ikut," katanya.

Bagi gadis berusia 14 tahun itu, kehadiran ibu bukan sahaja sebagai penjaga, tetapi juga mencetuskan keyakinan.

Dia tidak berasa keseorangan setiap kali beraksi di hadapan kamera, malah berasa lebih kuat kerana tahu ada mata yang sentiasa memerhatikan gerak gerinya dengan kasih sayang.

"Apabila ibu percaya saya boleh, saya rasa saya pun kena buktikan. Kena berlakon betul-betul, jangan takut," katanya.

Tambahnya lagi, rasa takut yang biasa dirasai kanak-kanak ketika membawakan watak hantu tidak lagi menjadi masalah apabila sudah semakin selesa dan menyesuaikan diri dengan suasana di set.

"Kru semua baik, pelakon lain pun mesra. Apabila saya dah selesa dengan watak sendiri, rasa takut semua terus hilang," katanya.

Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, Puteri Rafasya tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Menurutnya, dia masih mampu menyeimbangkan masa antara dunia seni dan akademik.

"Alhamdulillah, saya tak pernah gagal subjek. Cikgu pun okay apabila markah dalam pembelajaran saya okay," katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di  TwitterFacebook ,  InstagramWhatsApp Channel  dan  Telegram