
SIKAP terlalu terbuka berkongsi dan lokasi semasa di media sosial boleh membuka ruang kepada penjenayah siber untuk menangkap mangsa terutamanya dalam penipuan perasaan cinta atau lebih dikenali sebagai love scam.
Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Nalini Munusamy berkata, mangsa penipuan boleh terdiri daripada lelaki mahupun wanita, namun statistik menunjukkan golongan wanita lebih berisiko tinggi.
“Perempuan cenderung untuk menceritakan isu peribadi seperti perasaan sunyi di media sosial atau ketika berada di lokasi tertentu.
"Perkara seperti ini memberi ruang kepada scammer untuk menjadikan mereka sasaran," katanya kepada Majoriti.
Inspektor Nalini menjelaskan tentang punca seseorang terjebak dalam kes penipuan di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Love scam selalunya bermula apabila suspek menghampiri mangsa dengan identiti palsu yang sering kali menyamar sebagai individu kelihatan sempurna di mata mangsa.
Hubungan maya yang terjalin akhirnya membawa permintaan wang atas pelbagai alasan atau ugutan.
Selain penipuan cinta , Nalini turut mendedahkan beberapa lagi bentuk penipuan yang kini aktif di Malaysia termasuk:
- Panggilan palsu: Panggilan palsu daripada individu menyamar sebagai pegawai bank, polis atau LHDN.
- Penipuan e-dagang: Penipuan jual beli dalam talian.
- Pancingan data: Cubaan mencuri maklumat peribadi melalui laman palsu atau emel.
- Pinjaman dan pelaburan tidak wujud: Tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan tetapi tidak sah.
Modus operandi terbaharu juga melibatkan penggunaan mule account atau akaun keldai apabila pemilik akaun bank menyerahkan kad ATM dan nombor PIN kepada individu lain untuk tujuan transaksi yang mencurigakan.
Malah, terdapat juga sindiket yang menawarkan pekerjaan kononnya untuk menguruskan transaksi kewangan dan membayar komisen, manakala hakikatnya mereka memperalatkan akaun bank tersebut untuk aktiviti haram.
Nalini berkata, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika terjebak dalam sebarang bentuk penipuan.
Talian itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga pukul 8 malam pada setiap hari.
Maklumat penting yang perlu disediakan seperti kronologi kejadian, bukti perbualan dengan scammer dan maklumat transaksi kewangan.
Pengguna Android juga digalakkan memuat turun aplikasi Check Scammers CCID atau semak status nombor akaun mencurigakan melalui portal rasmi: semakmule.rmp.gov.my . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram