Pernah alami situasi sama, Jihad, Husna tubuh NGO bantu belia bermasalah, diabai keluarga


  • Relaks
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Pasangan suami isteri nekad membantu belia yang memerlukan di Singapura.

PENGALAMAN membesar dalam keluarga serba kekurangan menjadi titik tolak pasangan suami isteri, Jihad Suhaimi, 28, dan Husna Hussain, 29, menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Membina Community di Singapura. 

Diasaskan pada 2023, organisasi itu lahir daripada keinsafan mendalam terhadap nasib golongan belia yang terpinggir sama seperti mereka dahulu.

Kedua-duanya pernah melalui kehidupan di dalam rumah sewa dan dibesarkan oleh keluarga serba kekurangan.

BACA LAGI: Muntah susu normal atau petanda masalah lain? Ketahui cara atasinya, perut bayi selesa, ibu gembira

BACA LAGI: Elak ayat 'ibu tidur lama' pada anak, pakar ulas cara atasi kesedihan pemergian orang tersayang

"Ideanya tercetus daripada pengalaman peribadi kami. Kami tahu bagaimana rasanya hidup dalam kekurangan, jadi mahu menjadi sumber harapan buat mereka yang berada dalam situasi serupa," ujar Husna.

Membina Community memberi tumpuan kepada membantu belia berisiko daripada pelbagai latar belakang termasuk mereka yang berhenti sekolah, diabaikan keluarga atau hamil luar nikah.

Hampir 90 peratus daripada golongan belia yang dibantu tinggal menyewa di flat.

Bagi Jihad, kepercayaan terhadap potensi individu menjadi teras pendekatan NGO itu.

"Kami percaya bahawa setiap individu memiliki kekuatan tersendiri, walau apa pun latar belakang mereka.

"Apa yang penting ialah memberi ruang dan peluang untuk mereka bangkit," katanya.

Namun begitu, membina kepercayaan bukan mudah. Ramai belia mengambil masa yang lama untuk berasa selesa.

Menyedari kemungkinan mereka pernah melalui trauma, Jihad menekankan pentingnya untuk tidak menghakimi.

Terletak di North Bridge Road, Singapura, Healing Youth Hub merupakan nadi kepada segala aktiviti dan sokongan yang diberikan.

Ia bukan sekadar ruang fizikal, malah menjadi tempat buat belia merasakan mereka diterima dan dihargai.

Di situ, mereka boleh meluangkan masa bersama rakan sebaya, mentor dan sukarelawan.

Para mentor yang datang daripada pelbagai bidang turut membantu memberikan panduan serta sokongan moral.

Menariknya, sebahagian daripada belia yang pernah dibantu kini kembali menyumbang sebagai mentor sebaya.

Mereka berkongsi pengalaman dan membimbing belia yang baru menyertai program sehingga menjadikan proses sokongan itu lebih tulen dan bermakna.

Antara inisiatif mendapat sambutan ialah Kelab Futsal Membina, yang kini menghimpunkan lebih 160 belia dari pelbagai kawasan di Singapura.

Program itu bukan sahaja membuka ruang interaksi sihat tetapi turut mengintegrasikan mereka kembali ke dalam masyarakat.

Lebih istimewa, banyak program dan aktiviti kini dirancang dan dikendalikan sendiri oleh belia terbabit.

Itu memperlihatkan keberkesanan pendekatan Membina Community yang bukan sahaja memberi bantuan tetapi turut membina keyakinan serta kepimpinan dalam diri mereka.

“Kami sedia mendengar dan menerima sesiapa sahaja yang sedang melalui cabaran hidup.

“Jangan segan, jangan malu. Bantuan ada di sekeliling, asalkan kita berani untuk membuka hati," kata Jihad.

Sementara itu, Husna berharap agar suatu hari nanti belia yang pernah menerima sokongan dapat menjadi agen perubahan buat generasi akan datang.

Dengan pendekatan penuh empati dan berpaksikan harapan, Membina Community membuktikan bahawa pengalaman hidup yang sukar bukan penghalang untuk membina masa depan lebih baik, malah boleh menjadi batu loncatan untuk menyuluh jalan buat orang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram