
KOPERAL polis yang parah selepas tertembak kepala sendiri di pos pengawal Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Selasa lalu meninggal dunia pada Khamis.
Berita tersebut disahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dalam satu kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.
Mendiang Francis Aruputham dari Kem Komandan, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.12 petang di General Intensive Care Unit (GICU), Hospital Pulau Pinang.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
"Ketua Polis Pulau Pinang dan isteri, serta seluruh warga kerja PDRM Pulau Pinang mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.
"Semoga mereka tabah menghadapi segala ujian dan ketentuan ini serta dipermudah segala urusan," ujar hantaran tersebut.
Pada Selasa, Francis yang berusia 58 ditemui parah di kepala semasa berada di pos pengawal ibu pejabat polis itu kira-kira pukul 6.12 petang.
Dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Siasatan di tempat kejadian mendapati satu das tembakan dilepaskan daripada senjata digunakannya.
Siasatan mengenai kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Mengenai spekulasi bahawa mangsa mempunyai beban hutang dipercayai berpotensi mencetuskan masalah keluarga, Hamzah dilaporkan berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Beliau turut memaklumkan bahawa polis telah merekodkan keterangan bekas isterinya sebagai sebahagian daripada proses siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram