
DUNIA seni tanah air kehilangan seorang lagi bintang legenda pelakon veteran, Datin Noor Azizah Azizul Hassan yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Sungai Paloh, Ipoh, Perak sekitar pukul 3 pagi Isnin.
Pemergian seniwati berusia 79 tahun itu turut dirasai rakan-rakan artis termasuk pelakon tersohor Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy yang pernah bergandingan dengan Allahyarhamah dalam filem Suara Kekasih.
"Seniwati legenda Datin Noor Azizah telah pulang ke sisi Ya Khaliq.
"ALLAH mengizinkan saya untuk berkongsi 'jiwa dan rasa' bersama beliau dalam filem Suara Kekasih.
"Sepanjang bekerjasama, beliau seorang yang membumi, penuh hemah dan sangat profesional dalam kerjayanya," katanya.
Ogy turut meluahkan rasa syukur atas kenangan manis tercipta bersama Allahyarhamah dan menyifatkan beliau insan yang sentiasa menyapa mesra setiap kali bersua.
"Terima kasih, Noor... kerana sudi bekerja bersama Ogy dan tidak pernah jemu menyapa apabila kita bertemu.
"Ramai yang akan merindui Noor. Berehatlah di negeri abadi, wahai insan seni yang dikasihi," katanya.
Beliau juga berharap Allahyarhamah Noor Azizah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
"Allahummaghfir lahaa warhamhaa wa ‘aafihaa wa’fu ‘anhaa. Ya ALLAH, ampunilah dirinya, kasihanilah dia, sejahterakanlah rohnya dan ampunilah segala dosa serta kesalahannya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram