
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali, berkongsi momen bermakna menyambut Aidilfitri bersama anaknya, Mateen, yang merupakan kanak-kanak autisme.
Dalam satu hantaran di media sosial, bekas pemain Harimau Malaya itu menggambarkan pengalaman unik mereka, termasuk cabaran yang dihadapi dalam membesarkan anak lelaki istimewanya itu.
Menurut Safee, Mateen menunjukkan rasa gembira dengan cara tersendiri, meskipun kadangkala sukar untuk mengawal emosinya.
"Day One Raya with Mateen.
"Setiap calar dan luka adalah tanda cinta yang tulus.Mateen meluahkan rasa dengan cara yang istimewa ketika dia terlalu excited dan happy," tulisnya melalui satu hantaran di laman Threads pada Isnin.
Beliau turut berkongsi bahawa ‘meltdown’ bukan sekadar luahan emosi, tetapi refleksi kepada keindahan dalam perbezaan.
"Tak boleh control dan stop. Meltdown adalah refleksi keindahan dalam perbezaan. Ingat, perjalanan ini adalah tentang harga syurga yang tidak ternilai. Sentiasa menyayangi dan menerima," ujarnya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet, yang memuji kesabaran dan kasih sayang Safee terhadap anaknya.
Sebagai seorang bapa, coretan Safee itu dilihat menekankan kepentingan menerima anak istimewa dengan penuh kasih sayang dan memahami cara mereka berinteraksi dengan dunia.
Kisahnya menjadi inspirasi kepada banyak keluarga dalam mendidik anak-anak istimewa dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram