[VIDEO] Enam lelaki ditahan bergaduh di Medan Seri Keramat, 2 ada rekod jenayah lampau — Polis Ampang


  • 112
  • Selasa, 01 Apr 2025

Tangkap layar memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di Taman Seri Keramat baru-baru ini.

ENAM lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan yang berpunca daripada provokasi di Medan Seri Keramat, Kuala Lumpur awal pagi Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, polis menerima aduan berkaitan pergaduhan membabitkan 10 lelaki pada pukul 12.19 tengah malam.

Katanya, siasatan mendapati pergaduhan membabitkan dua kumpulan yang mana salah seorang suspek membuat provokasi terhadap satu kumpulan lain.

BACA LAGI : [VIDEO] Rakaman dashcam mangsa tragedi LPT tular, ramai desak kerajaan perketat undang-undang syarat jadi pemandu lori

BACA LAGI : [VIDEO] 'Tak perlu ada sentuhan fizikal, cukup letupkan saja belon', ramai nasihat pak cik tunjal kepala budak dalam surau di Pulau Pinang

"Salah seorang suspek kemudian menghubungi rakan-rakannya yang lain dan seterusnya berlakunya pergaduhan.

"Dalam pergaduhan itu, seorang suspek mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Jelas Mohd Azam, ketika dua kumpulan suspek itu hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung pergaduhan yang berlaku, tercetus lagi pertelingkahan antara mereka.

"Kesemua suspek datang ke Balai Polis Hulu Kelang pada malam kejadian untuk membuat laporan polis berkaitan pergaduhan yang berlaku.

"Setelah laporan polis selesai dibuat, siasatan mendapati kesemua mereka terlibat di dalam kes yang disiasat.

"Ketika suspek berada di balai polis untuk membuat laporan salah seorang suspek menumbuk muka dan menendang badan suspek lain," katanya.

Mohd Azam berkata, pihak polis berjaya menghalang dan menahan suspek kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

"Tangkapan dibuat membabitkan enam lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun pada pukul 2.30 pagi, semalam (Sabtu).

"Semakan mendapati dua suspek yang berusia 27 dan 33 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah," katanya.

Mohd Azam berkata, kesemua suspek kini direman tiga hari untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merusuh.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Terdahulu, tular beberapa gambar dan video memaparkan seorang lelaki cedera dipukul sekumpulan lelaki di hadapan rumahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram