Wajib singgah! Ini 6 restoran saji makanan halal lazat sekitar Taipei, Taiwan


  • Hobi
  • Selasa, 25 Mac 2025

Mencari makanan Halal di Taiwan kini lebih mudah kerana banyak restoran yang mula mementingkan keperluan orang Islam, khususnya pengunjung.

SIAPA sangka, mencari makanan halal di Taiwan bukanlah satu misi mustahil? Sebelum penulis melangkahkan kaki ke negara itu, sudah tentu makanan menjadi faktor yang paling penting untuk diambil kira.

Dengan perut yang asyik berbunyi dan selera yang tidak mengenal batas, penulis meneroka beberapa restoran halal di Taiwan yang dibawa oleh Salam Taiwan. 

Berikut penulis senaraikan restoran yang menyediakan makanan Halal di sekitar Taiwan yang wajib disinggah. 

BACA LAGI: Tunai janji selepas 53 tahun kahwin, bekalan elektrik terputus pahit manis Salleh ke Kashmir bersama cinta hati

BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah

Little India Restaurant menyajikan hidangan India, lengkap ruangan solat. 

1. Little India Restaurant – Ayam berasap, roti power!

Pada hari kedua, penulis dibawa makan tengah hari di Little India Restaurant di bandar Taichung dan percayalah, pengalaman di sini membuatkan penulis hampir lupa bahawa sedang berada di Taiwan!

Restoran ini bukan sahaja menyajikan hidangan India yang lazat, tetapi juga ada menyediakan ruang solat, sangat sesuai untuk pelancong Muslim yang mahu mengisi perut tanpa mengabaikan tanggungjawab.

Paling best, ayam yang dihidangkan terus dari kuali, masih berasap siap berbunyi desiran panasnya.

Roti yang dihidang boleh dikatakan menjadi menu kesukaan ramai kerana sangat lembut, ditambah lagi dengan kuahnya. Cukup untuk membuatkan penulis rasa seperti mahu tapau bawa balik!

Hsin Hotel menawarkan banyak hidangan makanan laut.

2. Hsin Hotel – Makanan laut ada, itik pun ada!

Pada keesokan malamnya, penulis menjamu selera di restoran dalam Hsin Hotel yang terletak di bandar Chiayi. Jika sebelum ini terbiasa dengan ayam dan daging, kali ini hidangan makanan laut pula mendominasi meja.

Apa yang menarik perhatian penulis adalah itik yang dihidangkan. Jarang dapat makan itik yang halal, jadi ini peluang keemasan!

Rasanya? Cukup lembut dan penuh perisa. Dengan kombinasi makanan laut segar, pengalaman makan malam ini memang penulis tidak dapat dilupakan.

Ikan di Fresh Cuisine antara menu kegemaran penulis di Taiwan.

3. Fresh Cuisine - Nasi kuning ke pulut?

Hari keempat membawa penulis ke Fresh Cuisine untuk makan malam dan inilah kali pertama penulis dihidangkan dengan nasi berwarna kuning. Untuk sesaat, penulis ingatkan ia adalah pulut kuning, ternyata tidak!

Bersama nasi ini, ada ayam, ikan dan sayur menjadikannya satu hidangan yang lengkap.

Bukan itu sahaja, malah ada telur dadar lagi dan ikannya sangat sedap. Penulis tidak pernah jumpa lagi hidangan sesedap ikan itu di Malaysia.

Makan dekat sini memang kenyang dan puas hati!

Mouna Restaurant menyediakan hidangan Timur Tengah dalam ruang ayng sangat selesa.

4. Mouna Restaurant - Aroma Maghribi

Hari kelima, perut penulis kembali merindui makanan Timur Tengah, jadi penulis dibawa untuk makan tengah hari di Mouna Restaurant di Taipei.

Selepas Little India Restaurant, restoran ini menjadi tempat makan paling penulis gemar.

Selain ruang makan yang luas dan selesa, restoran ini ada sijil halal, jadi bolehlah makan dengan aman tanpa ragu-ragu.

Hidangan di sini bertemakan makanan Maghribi dan Arab, jadi memang kaya dengan rempah dan rasa asli dari negara asal.

Lebih menarik, pemilik restoran, Mounia Elaychia, sudah lebih 20 tahun menetap di Taiwan dan berpengalaman dalam perniagaan makanan selama lebih 10 tahun!

Patutlah makanan di sini semua sedap-sedap sehingga ketika menulis artikel ini pun, penulis masih teringat-ingat.

Mi daging di Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant disediakan dalam kuantiti yang sedang elok.

5. Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant - Sempit, tetapi padu!

Selepas makanan Arab yang menyelerakan, tiba masa untuk mencuba mi daging lembu yang popular di Taiwan di Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant.

Sesampai sahaja di sini, penulis berpendapat, beratur mungkin menjadi tradisi setiap kedai makan yang menyajikan mee tarik.

Penulis ingatkan di Malaysia sahaja perlu beratur, di sini juga perlu menunggu giliran untuk menikmati hidangan tersebut kerana pelanggan memenuhi setiap ruang makan.

Tempatnya agak sempit, tetapi makanan di sini tetap menjadi kegemaran ramai.

Penulis sebenarnya tidak begitu menggemari daging, tetapi demi pengalaman, tekak pun diberi cabaran baharu.

Tidak sangka, tekak penulis boleh terima daging di sini. Jadi, buat anda yang tidak suka makan daging, mungkin boleh datang ke sini untuk cuba.

Kuah mi yang kaya dengan rempah dan mi yang kenyal memang satu kombinasi yang padu. Dumpling mereka juga sedap, rangup di luar, lembut di dalam.

Terletak di kawasan pasar yang agak sempit, Halaho Pickles menyediakan hidangan Indonesia.

6. Halaho Pickles - 'Nasi talam' Indonesia

Hari terakhir di Taiwan dan sebelum berlepas ke lapangan terbang, penulis sempat menikmati makan tengahari di Halaho Pickles yang terletak di Taoyuan.

Restoran ini terletak di pasar, jadi kalau tidak biasa, mungkin boleh sesat mencari jalan!

Hidangan utama di sini ialah Nasi Tumpeng, satu hidangan Indonesia yang lengkap dengan nasi kuning berbentuk kon dan aneka lauk-pauk.

Sewaktu hidangan dibawa ke meja, penulis terkejut melihat 'kemeriahan' lauk-pauk di sekeliling nasinya. Ia juga seakan nasi talam.

Tetapi yang paling menceriakan hati adalah layanan pemilik restoran yang sangat mesra!

Malah, penulis juga sempat menikmati teh tarik dan pencuci mulut sebagai hidangan penutup.

Memang satu pengalaman yang manis sebelum meninggalkan Taiwan.

Mencari makanan halal di Taiwan bukanlah satu kesukaran besar.

Dengan semakin tinggi kesedaran berkaitan Halal, kini banyak restoran menyajikan makanan halal muncul di Taiwan.

Jadi, pelancong Muslim boleh menikmati pelbagai hidangan tanpa ragu-ragu.

Dari ayam berasap, itik, mi daging lembu, hingga ke Nasi Tumpeng, pengalaman 'melahap' di Taiwan ternyata lebih menarik daripada yang penulis bayangkan!

Jadi, kalau ke Taiwan, jangan lupa singgah di restoran-restoran ini. Dijamin perut kenyang, hati senang! — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram