'Perjuangan kami memastikan wanita, ibu, anak atau individu memiliki kebebasan kewangan', program WITI untuk wanita kekal berdaya saing


Menurut Sharizat (kiri) penubuhan WITI adalah inisiatif memastikan wanita di Malaysia memiliki kebebasan kewangan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan.

GOLONGAN wanita sering berdepan dengan pelbagai cabaran dalam dunia perniagaan dan perdagangan, termasuk kekurangan akses kepada peluang ekonomi, jurang sokongan serta kesedaran yang masih perlu diperkukuhkan di peringkat dasar.

Menyedari kepentingan memperkasakan wanita dalam sektor tersebut, Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Umno Malaysia (HAWA) bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melancarkan program Women in Trade and Industry (WITI) sebagai satu inisiatif untuk membantu wanita memperoleh kebebasan kewangan dan daya saing dalam industri.

Menurut Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, penubuhan WITI yang dilancarkan pada Julai tahun lalu itu merupakan langkah penting dalam memastikan wanita di Malaysia memiliki kebebasan kewangan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan.

BACA LAGI: Muntah susu normal atau petanda masalah lain? Ketahui cara atasinya, perut bayi selesa, ibu gembira

BACA LAGI: Wardah perkukuh komitmen dalam komuniti Islam global, turun padang semarak majlis iftar di bangunan ikonik London

HAWA bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam misi mencapai keseimbangan penglibatan wanita dalam sektor perniagaan khususnya.  — HAWA

"Dalam perjuangan kami untuk isu-isu wanita, salah satu perkara yang paling penting adalah memastikan wanita, sama ada ibu, anak atau individu memiliki kebebasan kewangan. Ramai wanita Malaysia sangat berminat dalam bidang perdagangan, industri dan perniagaan, tidak kira kecil atau besar," katanya kepada Majoriti.

Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menerangkan bahawa WITI ditubuhkan setelah pihak HAWA memberi cadangan kepada MITI mengenai keperluan program khusus untuk wanita dalam perdagangan dan industri.

"Alhamdulillah, MITI bersetuju dengan cadangan tersebut dan sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan, yang diuruskan oleh kementerian sendiri," jelasnya.

HAWA diberi peranan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peneraju dalam program ini, dengan kerjasama 10 NGO lain yang berkaitan dengan isu-isu perdagangan dan industri.

(Dari kanan) Timbalan Pengerusi HAWA, Tan Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Tan Sri Shahrizat, Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Majlis Pelancaran WITI pada 23 Julai 2024. — HAWA

Kerjasama impak positif

Sebagai NGO peneraju, HAWA bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh wanita dalam industri dan perniagaan.

"Kami mengadakan pertemuan dengan kementerian dan pelbagai pihak berkepentingan. Dari situ, kami dapat maklum balas mengenai program-program yang perlu diteruskan dan perubahan dasar yang perlu dibuat. Kemudian menyampaikan maklum balas ini kepada kementerian untuk tindakan lanjut," jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Dengan adanya platform seperti WITI, lebih banyak isu dihadapi oleh wanita dalam industri kini mendapat perhatian. Shahrizat menyatakan bahawa kementerian kini lebih menyedari cabaran dihadapi wanita dalam sektor ini.

"Saya melihat ada perubahan dalam kesedaran kementerian. Sebelum ini, kesedaran sudah ada, tetapi kini ia lebih spesifik. Kami ingin melihat tindakan yang lebih konkrit untuk membantu wanita dalam industri," katanya.

Menurut Shahrizat, wanita bersedia berdepan cabaran tetapi sering kali tidak diberi peluang sama rata. — Gambar hiasan/Freepik 

Cabaran wanita dalam industri

Dalam pada itu, Shahrizat turut mengulas mengenai cabaran utama yang dihadapi oleh wanita dalam dunia perniagaan dan perdagangan.

Menurut bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, wanita sebenarnya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran, tetapi mereka sering kali tidak mendapat peluang yang sama rata.

"Ramai wanita tidak berpeluang untuk menonjolkan isu-isu mereka. Walaupun terdapat banyak peruntukan atau peluang yang diwar-warkan, mereka sering kali tidak dapat mengaksesnya," jelas beliau.

Untuk memastikan sokongan kepada wanita dalam industri berterusan, Shahrizat menegaskan pentingnya kerjasama antara NGO, kerajaan dan pihak berkepentingan.

"Kita perlu berfungsi sebagai satu pasukan. Sebagai contoh, dalam Women in Business Network (WIBN) dan sektor-sektor lain, kami berbincang dengan mereka untuk memahami isu-isu yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan. Kami bertindak sebagai penggerak untuk menyuarakan isu-isu tersebut bagi pihak mereka," kata beliau.

Tambahnya, WITI akan terus berusaha untuk membawa perubahan yang positif bagi wanita di Malaysia.

"Jika kita bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh, saya percaya kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan dan memberi impak yang lebih besar kepada wanita dalam perdagangan dan industri.

"Kerajaan juga perlu memastikan bahawa apa yang diwar-warkan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Dengan adanya WITI, HAWA berharap agar lebih banyak wanita dapat diberi peluang untuk berkembang dalam bidang perdagangan dan perniagaan, seterusnya meningkatkan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram