HAWA, Akademi Al Bayan salur sumbangan untuk 250 orang golongan asnaf, mualaf


  • Massa
  • Rabu, 12 Mac 2025

Majlis Tautan Kasih Ramadan anjuran HAWA berlangsung pada Rabu di Surau Jumaat An Naim, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

MAJLIS Tautan Kasih Ramadan anjuran Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Umno Malaysia (HAWA) dengan kerjasama Pertubuhan Akademi Al Bayan menyalurkan sumbangan kepada 250 orang penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf.

Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program tersebut bukan sahaja memberikan sumbangan keperluan asas, tetapi juga memperkukuhkan ikatan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Islam.

"Program seperti ini bukan sahaja memberikan rahmat kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga mempereratkan hubungan silaturahim antara umat Islam. Inilah matlamat utama kami dalam melaksanakan program seperti ini," katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

BACA LAGI: 'Wanita sumber inspirasi bina legasi', Raja Permaisuri Agong zahir ucapan Hari Wanita Sedunia 2025

BACA LAGI:  Wanita lebih rendah guna AI, ChatGPT berbanding lelaki, bimbang digelar menipu

Tan Sri Shahrizat ketika menyampaikan ucapannya. — HAWA MALAYSIA

Tambah beliau, ia sekali gus memenuhi visi dan misi Timbalan Perdana Menteri selaku penaung HAWA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mementingkan isu melibatkan masa hadapan anak muda khususnya dalam bidang agama.

"Beliau amat mengambil berat sehingga program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (T-VET) dibawa ke pusat-pusat tahfiz dan beliau sedang mengambil usaha untuk memformalkannya supaya anak-anak tahfiz kita mendapat pendidikan yang terbaik," jelasnya.

Tambahnya, majlis yang disertai lebih 750 orang itu turut dihadiri oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama dengan HAWA. Hadir sama ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

"Ini adalah program kedua yang kita jalankan bersama Akademi Al Bayan. Ia juga merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HAWA yang mana kami sentiasa menjalankan program bersama NGO.

"Jadi, pada hari ini, ada lapan NGO tempatan dan empat NGO kebangsaan termasuk persatuan isteri-isteri pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," jelasnya.

Tan Sri Shahrizat dan Datuk Asyraf menyampaikan sumbangan kepada penerima yang terdiri daripada golongan mualaf. — HAWA MALAYSIA

Beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr. Nur Muhammad Hadi Zahalan.

"Saya bagi pihak HAWA, khususnya HAWA Wilayah Persekutuan dan juga HAWA Care ingin ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Akademi Al Bayan kerana menjadi rakan strategik kita untuk program hari ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Nur Muhammad Hadi berkata, sumbangan yang disalurkan itu terdiri berbentuk barang keperluan dan wang tunai.

"Sumbangan itu kita beri kepada 250 orang daripada golongan asnaf dan mualaf. Anggaran sumbangan sekitar RM150 iaitu RM100 adalah khusus untuk barang-barang keperluan dan RM50 untuk duit belanja untuk mereka meneruskan atau membeli keperluan-keperluan mereka yang lain," katanya.

Selain daripada sumbangan material, majlis itu turut diisi dengan sesi tazkirah dan tadarus yang disampaikan oleh beliau.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram