Dari agensi ke media sosial, dunia model dahulu lebih selektif berbanding hari ini


  • Massa
  • Khamis, 13 Feb 2025

Perubahan zaman turut membawa evolusi bahawa model bukan hanya sekadar berwajah cantik dan bertubuh langsing.

SELAIN busana diperagakan, antara perkara lain turut mencuri perhatian semasa acara pertunjukkan fesyen adalah model yang bertanggungjawab untuk memperagakan pakaian tersebut.

Tanggungjawab seorang model bukan sahaja menggayakan hasil rekaan pakaian seseorang pereka fesyen semata-mata. Tugas mereka lebih daripada itu. Aura dan personaliti seseorang model itu mampu memberikan ‘nyawa’ terhadap produk dipromosikan.

Nama-nama besar seperti Tyra Banks, Naomi Campbell, Heidi Klum, Imaan, Claudia Schiffer dan Kate Moss antara model terkenal dunia pada era 1990-an masih meninggalkan impak dalam industri fesyen antarabangsa, walaupun kini muncul wajah baharu antaranya Kendall Jenner, Gigi Hadid, Bella Hadid dan Emily Ratajkowski.

BACA LAGI: Ajal belum tertulis, suami isteri terselamat cubaan bunuh, 6 das tembakan dekat rumah di Simpang Renggam

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

Screenshot 2025-02-11 224829

Tengku Azura (tengah) dan Abu (kanan).

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila model tempatan seperti Nasha Aziz, Aleeza Kasim, Amber Chia, Tengku Azura dan Ling Tan turut mendapat perhatian bukan sahaja dalam industri fesyen tempatan, bahkan antarabangsa.

Malaysia tidak ketandusan nama-nama hebat dalam industri peragaan apabila muncul bakat besar seperti Alicia Amin, Tini, Atikah Karim, Vanizha Vasanthanathan dan Tuti Noor mula mewarnai pentas peragaan tempatan dan antarabangsa. Namun, realitinya untuk bergelar model sebenarnya tidak semudah yang disangka.

Banyak cabaran yang perlu dihadapi untuk berjaya sebagai seorang model. Seiring dengan perubahan zaman, adakah industri peragaan masa kini masih mengekalkan acuan sama? Atau berlaku perubahan mengikut kehendak landskap semasa?

Sehubungan itu, Majoriti menemu bual penata gaya terkenal, Abu Shaef Hamza yang mesra disapa Abu dan supermodel terkenal tanah air yang telah berkecimpung dalam arena peragaan hampir tiga dekad, Tengku Azura Tengku Awang, 48, untuk mengupas tentang industri model hari ini.

Screenshot 2025-02-11 224757

Menurut Abu, sikap dan pembawakan diri menjadi perkara nombor dua yang dinilai pada seorang model selepas rupa dan ketinggian. Instagram/@styledbybu_

Kriteria yang perlu ada pada seorang model baik lelaki mahupun wanita

Mengulas mengenai kriteria yang menjadi keperluan kepada individu bergelar model baik lelaki mahupun wanita, Abu berkata, seorang model perlu ada rupa dan ketinggian kerana mereka membawa nama sesuatu produk.

"Mahu tidak mahu, mereka mesti ada rupa dan tinggi. Pun begitu, wajah tidak semestinya perlu cantik, asalkan nampak unik. Inilah kriteria Utama yang dinilai," katanya kepada Majoriti.

Manakala, sikap dan pembawakan diri menjadi perkara nombor dua. Model pula ada beberapa ciri antaranya model komersial, model peragaan dan model papan iklan.

Tengku Azura juga berpendapat sama bahawa ketinggian merupakan aspek utama yang dinilai.

"Mengikut pengalaman saya, apabila seseorang itu ingin bergelar model, pertama sekali perlu ada ketinggian. Ketika era 1990-an, seorang model wanita itu perlu memiliki ketinggian sekurang-kurangnya 173 sentimeter (sm) manakala lelaki pula 180sm ke atas.

"Selain itu, perlu ada personaliti dan karakter menarik, selain wajah yang layak untuk menjadi model. Muka tidak semestinya perlu cantik, tetapi unik," ujarnya.

story translate (4)

Wajah estetik seperti Nasha Aziz (kiri) dan Aleeza Kasim kekal relevan dalam industri peragaan. — Instagram selebriti

Dalam aspek kehendak wajah, Abu berkata, wajah estetik seperti Aleeza Kasim dan Nasha Aziz kekal relevan dalam industri.

"Rupa model memang ada satu acuan menampakkan mereka adalah seorang model. Tidak perlu berkata-kata dengan berdiri sahaja sudah tahu dia adalah model. Wajah-wajah Melayu dengan kulit sawo matang memang tidak dinafikan memiliki pesona tersendiri," jelasnya.

Ridzman Zidaine misalnya, mendapat perhatian jenama-jenama antarabangsa terkenal, secara tidak langsung menjual nama negara di pentas fesyen dunia.

Tengku Azura berpendapat bahawa industri model kini lebih pelbagai dan inklusif.

"Sekarang lebih pelbagai dan berwarna-warni. Sejujurnya, pemilihan model dahulu lebih selektif berbanding hari ini. Namun, wajah model Malaysia juga tidak kalah jauh untuk pasaran peragaan antarabangsa.

"Di Malaysia, kita ada model terkenal seperti Atikah Karim yang memiliki keunikan dan pesona sehingga berjaya menempa nama di New York, Amerika Syarikat," katanya.

Screenshot 2025-02-11 223431

Tengku Azura memulakan kariernya sebagai model pada 1993. — Insatgram/@tengkuazura7

Evolusi sektor peragaan

Tidak dinafikan, Abu melihat perubahan besar dalam industri model. Model-model era 1980-an dan 1990-an sangat dikenali dan kekal diingati, dan kini platform media sosial membantu model-model tempatan untuk lebih mudah dikenali.

Abu menambah, Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Dengan adanya platform media sosial banyak membantu negara ini melebarkan sayap dalam bidang model. Model tempatan juga semakin mendapat peluang terutamanya generasi muda

Kalau sebelum ini, rata-rata model perlu ‘menjual’ diri dengan menghadiri uji bakat, hantar permohonan melalui e-mel di agensi-agensi tertentu. Kini, dengan adanya media sosial, mereka lebih mudah dikenali.

Tengku Azura turut berkongsi pengalamannya ketika bergantung sepenuhnya pada agensi dan majalah untuk mengembangkan nama.

"Zaman saya dahulu, cuma bergantung pada agensi yang kami bernaung dan mengharapkan bantuan majalah-majalah untuk ‘menjual’ nama kami. Model dahulu perlu bekerja keras buat sesi fotografi untuk majalah supaya lebih dikenali.

"Berbanding sekarang, masing-masing sudah ada platform media sosial. Jadi, lebih mudah mempromosi dan menguruskan diri sendiri. Saya merindui zaman aktif di pentas peragaan. Kami (rakan-rakan model) akan berbual-bual di belakang pentas dan melakukan aktiviti bersama. Sekarang lain," kata Azura.

Bercakap tentang evolusi, industri model hari ini semakin berkembang dan maju. Model-model muda hari ini dilihat lebih berani untuk menonjolkan diri mereka berbanding model era 1990-an.

Lebih mengejutkan, isu diskriminasi dan penekanan kepada bentuk tubuh tertentu pernah menjadi perdebatan dalam industri peragaan.

"Kalau meletakkan diri di tempat warga net, saya pun akan terasa juga dan memiliki pendapat yang sama. Namun, sejak dahulu industri ini telah dididik sebegitu. Tapi hari ini, industri model mula meraikan kepelbagaian apabila model pelbagai saiz semakin mewarnai pentas peragaan," jelas Abu.

Tengku Azura bersetuju dengan perkembangan ini dan melihatnya sebagai langkah positif, kerana model kini lebih bijak menghargai tubuh mereka sendiri tanpa perlu mengamalkan rutin diet ketat.

"Mungkin itu dahulu. Sekarang saya lihat perkara tersebut tidak lagi berlaku. Hari ini, saya melihat model tidak semestinya perlu kurus dan langsing kerana mengamalkan rutin diet yang ketat. Model hari ini lebih bijak menyayangi tubuh mereka sendiri," katanya.

Kepelbagaian saiz dalam fesyen

Berkenaan dengan kepelbagaian saiz dalam fesyen, kedua-dua mereka bersetuju apabila industri model mula meraikan kepelbagaian saiz badan di pentas peragaan.

Abu menekankan bahawa pereka fesyen perlu memikirkan model dengan pelbagai bentuk tubuh. Masyarakat bertubuh besar juga mahu bergaya, dan ini perlu dipupuk supaya mereka tidak merasa terpinggir.

"Kita perlu ada pertunjukkan fesyen untuk model-model seperti ini (kepelbagaian saiz badan). Setiap pereka fesyen juga perlu memikirkan model memiliki bentuk tubuh yang bukan seperti kelazimannya (kurus dan tinggi).

Orang bertubuh besar juga mahu bergaya. Perkara ini sepatutnya sudah mula dipupuk termasuk di Malaysia. Jadi, mereka yang memiliki perbezaan saiz tubuh tidak berasa terpinggir," ujarnya,

Tengku Azura bersetuju bahawa kepelbagaian saiz perlu diraikan untuk mengelakkan stereotaip terhadap golongan tertentu. Menurutnya, perubahan ini sangat positif dan memberi peluang kepada model-model berani yang mengikis pandangan tradisional terhadap peranan model.

"Saya bersetuju demi mengelak daripada stereotaip terhadap golongan tertentu. Sekurang-kurangnya, orang ramai boleh nampak perbezaan tubuh badan itu perlu diraikan," jelasnya.

Tambahnya, beliau turut melahirkan kegembiraannya dan menghormati model-model yang berani mengikis stereotaip biasa dilihat pada seorang model.

story translate (6)

Vanizha Vasanthanathan (kiri), Ridzman Zidaine dan Tuti Noor antara bakat besar tanah air yang mewarnai pentas peragaan tempatan dan antarabangsa. — Instagram model

Kerjaya model dan inspirasi kepada masyarakat

Abu menegaskan bahawa menjadi model bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga sikap dan kebijaksanaan.

"Menjadi model juga perlu bijak. Terdapat segelintir model ada rupa, tetapi kurang ilmu. Bagaimanapun, hakikatnya ramai model memiliki kualiti, menjaga sikap dan penampilan serta bijak membawa diri.

"Sewajarnya, jadilah model yang mampu memberi contoh terbaik dan sesuatu positif kepada masyarakat. Perlu ada keseimbangan antara dunia model dan individu dalam menjalani kehidupan harian," katanya.

Tengku Azura juga menekankan bahawa setiap individu perlu menghormati sensitiviti budaya dan batasan dalam setiap tindakan mereka, agar dapat dikenali dengan baik oleh masyarakat.

"Sebenarnya mudah. Apa sahaja yang kita lakukan perlu ada batas. Kena hormat dan tahu sensitiviti budaya masyarakat. Pucuk pangkalnya, ia berbalik kepada individu itu sendiri, bagaimana mereka mahu dikenali oleh masyarakat," katanya.

Kehadiran pesohor media sosial dalam industri peragaan

Menurut Abu, beliau melihat kehadiran pesohor media sosial sebagai satu trend yang tidak dapat dielakkan.

"Trend sebegitu sedang berlaku, lebih-lebih lagi pada zaman media sosial hari ini. Kehadiran mereka ada yang membawa kebaikan dan kelemahan. Jika dihitung 50-50. Seperti saya nyatakan tadi, jika ingin bergelar model, jadilah model yang bijak," ujarnya.

Tengku Azura pula mengalu-alukan kehadiran mereka dalam industri. Baginya, industri model hari ini terbuka kepada semua orang, dan lebih banyak kepelbagaian menjadikan industri ini lebih berwarna-warni.

Ikon dalam industri peragaan

Abu mengidolakan Naomi Campbell sebagai legenda fesyen yang tidak pernah hilang sepanjang kariernya. Di Malaysia, beliau juga menghargai Tengku Azura sebagai ikon peragaan tempatan.

Tengku Azura pula mengidolakan Noorkumalasari dalam bidang peragaan, kerana pesonanya yang kekal walaupun sudah bersara. Untuk model masa kini, beliau mengagumi Atikah Karim dan Ridzman Zidaine. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram