![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/12/3160776.jpg)
SETIAP pasangan berharapkan ikatan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
Namun, sejauh mana pun kita merancang, perancangan ALLAH adalah yang terbaik. Ketentuan takdir seperti kematian suami dalam rumah tangga pasti memberikan cabaran besar kepada isteri yang ditinggalkan.
Dalam menempuhi saat-saat penuh kesedihan dan kesukaran, isteri jangan ambil ringan mengenai tindakan yang perlu diambil seterusnya dalam memastikan kebajikan diri dan anak-anak terus terjaga. Wanita perlu memahami hak-hak mereka demi hari esok yang lebih senang dan terjamin.
BACA LAGI: [VIDEO] Perkelahan bertukar tragedi, datuk meninggal dunia lepas selamatkan 2 cucu di Pantai Irama
Fatimah menjelaskan, Isteri berhak untuk terus duduk di rumah kelamin selama tempoh iddah selesai.
Menurut Peguam Syarie, Fatimah Majemi, salah satu hak utama isteri selepas kematian suami adalah hak untuk terus tinggal di rumah kelamin.
Fatimah menjelaskan bahawa walaupun rumah tersebut mungkin menjadi harta pusaka, isteri tetap berhak untuk tinggal di sana selama tempoh iddah.
"Dia berhak untuk terus tinggal di rumah kelamin tersebut. Jadi, waris tiada kuasa untuk menghalau atau pun halang isteri untuk terus duduk di rumah pusaka tersebut sampailah tempo iddahnya habis," jelasnya kepada Majoriti.
Itu adalah hak yang tidak boleh dinafikan oleh pihak lain, termasuk ahli waris yang mungkin cuba mengusirnya. Isteri berhak untuk terus duduk di rumah tersebut untuk menjaga kebajikan diri dan anak-anaknya selama tempoh iddah selesai.
Fatimah juga berkongsi pengalaman mengenai kes di mana seorang isteri yang tidak bekerja diminta keluar dari rumah selepas kematian suami.
Dalam kes tersebut, rumah yang dibeli oleh suami untuk keluarga menjadi satu isu besar, walaupun nama suami yang tertera sebagai pemilik.
Situasi itu jelas menggambarkan isteri yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suami, sering kali menghadapi kesukaran apabila terpaksa keluar dari rumah tersebut.
Oleh itu, Fatimah menegaskan pentingnya isteri mengetahui hak-hak mereka agar kebajikan diri dan anak-anak terus terpelihara.
Adalah penting untuk isteri mengetahui hak-hak yang mereka miliki selepas kematian suami. — Gambar hiasan/Freepik
Selain itu, jika suami meninggalkan hutang, isteri berhak menuntut hutang tersebut, terutama jika mereka berkongsi tanggungjawab bersama dalam hal kewangan.
Tegas Fatimah, walaupun hutang mungkin atas nama suami, isteri yang terlibat dalam perniagaan atau lain-lain urusan kewangan bersama suami tetap boleh menuntut haknya. Tuntutan ini memerlukan bukti yang kukuh dan boleh dibuat di mahkamah.
"Biasanya pasangan suami isteri ni saling bantu membantu. Jadi, jika suami ada berhutang dengan isteri untuk perniagaan contohnya, jika dia tak sempat melangsaikannya, maka, isteri boleh tuntut hutang itu bersama bukti dari mahkamah," katanya.
Fatimah menambah, isteri juga berhak menuntut harta sepencarian sebelum pembahagian harta pusaka. Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri sepanjang perkahwinan mereka.
Dalam artikel terdahulu, Fatimah menjelaskan bahawa isteri yang tidak bekerja juga boleh menuntut harta sepencarian melalui sumbangan tidak langsung.
Justeru, jika anda tergolong dalam kalangan isteri tidak bekerja, tidak perlu risau kerana anda masih ada hak tuntutan.
Selepas tuntutan-tuntutan berkaitan hutang, harta sepencarian dan hibah selesai, barulah pembahagian harta pusaka dilakukan. Proses ini melibatkan pembahagian harta yang ditinggalkan oleh suami berdasarkan hukum faraid atau wasiat yang sah.
Berdasarkan penjelasan Fatimah, isteri perlu mengetahui hak-hak yang mereka miliki selepas kematian suami.
Dalam keadaan yang penuh cabaran, pemahaman tentang hak ini dapat membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan melindungi masa depan mereka dan anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram