Cipta konten pelik untuk raih perhatian, Chef Wan tak anggap individu 'attention seeker' miliki niat buruk


  • Hiburan
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Datuk Chef Wan memilih untuk membincangkan topik attention seeker secara lebih mendalam dalam episod keempat program bual bicara yang dibuatnya.

FENOMENA media sosial yang sentiasa mengejar 'likes' dan mengumpul pengikut, telah mewujudkan satu kelompok pencipta kandungan yang gilakan perhatian atau dipanggil 'attention seeker'.

Subjek ini antara yang menjadi ulasan pakar masakan, Chef Wan di dalam episod keempat program bual bicaranya yang membincangkan topik berkenaan secara lebih mendalam.

Chef Wan mengulas cara sebahagian besar pencipta kandungan di media sosial yang bertindak luar batasan demi menarik perhatian orang ramai, yang kadangkala membawa kepada kontroversi dan kritikan hebat.

BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara

BACA LAGI: Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan

6093672030625972411

Chef Wan bersama Datuk Seri Vida dan Dr. Shazril Shaharuddin

Chef Wan berasakan media sosial adalah ruang terbaik buat individu yang ingin menonjolkan diri dan seterusnya membina pengaruh.

"Kini, sesiapa sahaja boleh menggunakan media sosial untuk memperkenalkan diri, sama ada untuk tujuan perniagaan atau sekadar meraih populariti. Namun, tidak dapat dinafikan ada juga yang terjebak dalam kontroversi dan kecaman," kata Chef Wan kepada Majoriti.

Pemilik nama sebenar Datuk Redzuawan Ismail itu berkata, fenomena berkenaan bukan hanya mencetuskan perbalahan tetapi juga menyebabkan sesetengah individu menjadi sasaran serangan peribadi yang boleh menjejaskan reputasi mereka sendiri.

Dalam program bual bicara itu, dua personaliti media sosial yang pernah menjadi mangsa kecaman teruk iaitu Datuk Seri Vida dan Dr. Shazril Shaharuddin turut dijemput.

Kedua-dua mereka berkongsi pengalaman berhadapan dengan kritikan yang datang bersama populariti di media sosial.

6093672030625972413

Chef Wan bersama Datuk Vida dalam program talkshow bertopik attention seeker.

Meskipun sering dikecam, Chef Wan beranggapan bahawa seseorang yang dilabel sebagai 'attention seeker' tidak menandakan mereka mempunyai niat yang buruk.

"Ada yang memang sengaja mencetus perdebatan untuk membina reputasi perniagaan atau memperkenalkan produk mereka. Tidak semua tindakan mereka bertujuan negatif," katanya.

Pakar masakan berusia 66 tahun itu turut beranggapan, seseorang yang dilabel sebagai 'attention seeker' pastinya akan berusaha semampu boleh untuk terus menjadi tumpuan ramai.

"Kadang-kadang, mereka tampil dengan pakaian pelik atau melakukan sesuatu yang kelakar supaya perbualan dalam kalangan netizen mengenai diri atau produk mereka akan terus berpanjangan.

"Walaupun tidak semua orang bersetuju atau menyukai dengan taktik sebegini, namun golongan ini tetap memiliki peminat tersendiri," ujar Chef Wan.

Beliau berkata, setiap orang mempunyai cara mereka sendiri untuk menjadi 'bintang' di platform media sosial dan walaupun pendekatan ini ada kalanya mengundang kontroversi, ia tetap mengukir laluan kepada peluang untuk mencapai kejayaan.

6093672030625972417

Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn (kiri), Datuk Seri Vida (tengah) dan Kacak atau nama sebenarnya Eric Zaquan.

Chef Wan juga memberi pujian kepada pemilik nama sebenar Hasmiza Othman yang tidak hanya dikenali sebagai seorang usahawan berjaya tetapi juga seorang ibu penyayang.

"Datuk Seri Vida bukan sahaja usahawan berjaya, beliau juga seorang ibu yang sangat baik," tambahnya.

Selain itu, Chef Wan turut menyentuh mengenai isu 'humble bragging' atau bermegah secara tidak langsung yang sering ditonjolkan segelintir individu di media sosial.

"Kadang-kadang kita tidak sedar yang ini kita sedang bermegah. Mungkin kita rasa kita cuma berkongsi perkara baik, tetapi orang lain pula menafsirkannya yang disebaliknya.

"Di dalam kepala, kita fikir lain. Tak sangka pula orang lain bertanggapan negatif pula. Kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram