MODEL perniagaan francais adalah satu konsep banyak dipraktikkan di Malaysia daripada gerai kecil di tepi jalan sehingga memiliki premis sendiri.
Di Malaysia, pertumbuhan francais kini dilihat amat digalakkan kerana popularitinya sebagai cara terbaik dalam menjalankan perniagaan. Namun jika semakin banyak model tersebut digunakan, adakah konsep tersebut masih memiliki nilai yang tinggi atau tidak?
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, berkongsi pandangan mengenai perkembangan industri itu di negara ini.
BACA LAGI: Populariti The Rock di Hollywood bagaikan 'rezeki terpijak', tewaskan 2 lagi penggusti hebat WWE
Menurut Tengku Mohamed Fadhli, Pernas melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai usahawan berkecimpung dalam industri francais.
Beliau menekankan peranan Pernas adalah mewujudkan kesedaran kepada orang ramai mengenai francais melalui program-program yang dianjurkan.
“Pernas adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan dimiliki oleh Menteri Kewangan yang diperbadankan. Ia merupakan sebuah agensi di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.
Sistem francais memberi manfaat kepada usahawan yang ingin memperluaskan perniagaan.
Bermula 2004, Pernas diberi mandat untuk membangunkan industri francais di Malaysia dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai lagi penglibatan usahawan khususnya dalam bidang francais
Selain itu, berperanan melahirkan lebih ramai usahawan francais termasuk francaisor dan francaisi dan membangunkan jenama-jenama francais tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Kaedah yang digunakan Pernas untuk membantu mereka memperkukuhkan perniagaan melalui bimbingan, padanan perniagaan dan pembiayaan,” jelasnya.
Sistem francais memberi manfaat kepada usahawan yang ingin memperluaskan perniagaan mereka, kelebihan itu terbahagi dua. Pertama, francaisor iaitu pemilik hak dan francaisi pula penerima hak.
Antara manfaat diterima francaisor seperti perluasan produk atau perkhidmatan mereka dalam pasaran dengan lebih cepat dan berkesan dan pembangunan perniagaan dengan modal mampu milik.
Ia termasuk perkongsian risiko dan tanggungjawab dengan francaisi, peningkatan dalam pengeluaran dan pengawalan keseragaman kualiti produk atau perkhidmatan.
Bagi francaisi pula, mereka bakal menerima kelebihan dari sudut penggunaan jenama atau cap dagangan yang kukuh dan telah diiktiraf Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Mereka turut menerima faedah ekonomi skala iaitu pembelian bekalan dan promosi, manual operasi dan latihan yang lengkap dan khidmat sokongan serta bimbingan berterusan daripada francaisor.
“Perniagaan francais berpotensi berkembang dan mendapat permintaan yang tinggi,” ujar Tengku Mohamed Fadhli yang menekankan model perniagaan itu lebih cepat, murah dan capaian lebih luas serta pengurusan sistematik.
Francais F&B paling popular yang mencatatkan sebanyak 80 peratus.
Selain itu, jenama francais Malaysia juga diterima baik di luar negara, terutamanya dalam bidang pendidikan dan makanan.
“Makanan dan minuman (F&B) adalah francais paling popular yang mencatatkan sebanyak 80 peratus, bakinya pula perkhidmatan seperti pendidikan awal kanak-kanak.
"Ini kerana kategori tersebut merupakan keperluan harian dengan ramai orang di luar sana yang mahu mencuba menu-menu baharu atau tular. Promosi melalui platform digital dan media sosial juga menjadi faktor sektor F&B mudah mendapat sambutan oleh orang ramai,” maklum beliau.
Bagi pendidikan awal kanak-kanak pula, sambutan yang tinggi turut diperoleh kerana kesedaran ibu bapa masa kini mengenai pelajaran sebagai persediaan terbaik untuk anak-anak pada awal usia.
Berbicara mengenai cabaran yang dihadapi, keunikan sesuatu produk atau perkhidmatan adalah terlalu banyak pengusaha francais yang memasuki industri francais dan bersaing pada skala yang sama.
Cabaran itu biasanya akan dilalui dalam tempoh lima tahun terawal dan ia akan menentukan adalah pengusaha mampu bertahan atau tidak.
Pernas berharap kepada mereka yang ingin melangkah atau menceburi industri francais di Malaysia memulakan langkah pertama dengan merujuk Pernas. Ini kerana pihak tersebut sedia membantu orang ramai yang ingin bergelar usahawan francais dan membantu mereka meneroka peluang-peluang perniagaan francais yang ditawarkan.
“Saya menyeru dan menggalakkan orang ramai tidak mengira usia dan juga golongan belia untuk menjadi usahawan dan menceburi bidang perniagaan francais. Pernas dapat melahirkan lebih ramai usahawan bukan sahaja di pasaran tempatan malah di peringkat antarabangsa,” bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram