Hanya mainan psikologi, manusia tiada 'perut kedua' untuk isi pencuci mulut selepas makan


  • Sihat
  • Ahad, 29 Dis 2024

Manusia tidak ada 'perut kedua' untuk menikmati pencuci mulut. — Agensi

RAMAI di antara kita pernah mengalami fenomena rasa kenyang selepas makan tetapi entah bagaimana masih ada ruang untuk pencuci mulut. Ia berlaku setiap kali – tidak kira berapa banyak anda makan, masih ada ruang untuk aiskrim atau manisan.

Fenomena ini begitu biasa sehingga ramai orang bergurau mengatakan mereka mempunyai 'tangki kedua' – atau bahkan 'perut kedua' – untuk makanan manis.

Jadi, adakah benar bahawa manusia mempunyai "perut kedua" untuk makanan manis?

BACA LAGI: Isu ketepatan kit ujian kendiri makin membimbangkan, pakar khuatir produk mudaratkan pengguna

BACA LAGI: Ambil kesedaran sambil berhibur, cerita dongeng bantu ajar kanak-kanak kepentingan tidur berkualiti

Jawapannya adalah tidak. Manusia tidak mempunyai 'perut kedua' secara zahir atau mana-mana bahagian lain dalam badan untuk sebarang jenis makanan – apatah lagi pencuci mulut atau hidangan manis.

Walau bagaimanapun, perasaan mempunyai ruang untuk pencuci mulut walaupun selepas kenyang boleh dijelaskan melalui faktor fisiologi dan psikologi.

pencuci-mulut-paling-mahal-di-dunia

Pencuci mulut sering dinikmati manusia selepas makan hidangan utama. — Agensi

Salah satu penjelasan utama ialah fenomena yang dikenali sebagai kenyang khusus deria atau sensory-specific satiety. Ia merujuk kepada pengurangan bahan kimia yang dihasilkan oleh otak apabila semakin banyak kita memakan sejenis makanan.

Secara asasnya, apabila kita makan satu jenis makanan, otak mendapat kurang kepuasan daripadanya, menyebabkan selera terhadap makanan yang serupa berkurang.

Namun begitu, dengan memperkenalkan rasa atau tekstur baru, seperti pencuci mulut yang selepas hidangan berperisa masin, boleh menghidupkan kembali minat kita untuk makan.

Contohnya, anda mungkin teringin makan pizza, tetapi selepas potongan kelima atau keenam, otak anda mula hilang minat terhadapnya.

Ia kemudian mula menghantar isyarat yang memberitahu badan anda bahawa anda sudah kenyang dan tiba-tiba, potongan ketujuh tidak lagi kedengaran atau kelihatan menarik.

Kemudian, anda nampak sepotong kek, dan anda berasa seolah-olah perut anda secara ajaib mempunyai ruang lagi!

Sebagai manusia, kita perlukan diet yang pelbagai. Oleh itu, para penyelidik berpendapat kenyang khusus deria mempunyai tujuan membantu manusia mendapatkan semua nutrien yang diperlukan dengan ‘memaksa’ seseorang untuk mengidam pelbagai jenis makanan.

Ini amat penting bagi manusia pada zaman purba kerana ia membantu mengawal tabiat makan nenek moyang kita dan memastikan mereka tidak hanya makan satu jenis makanan sahaja.

Faktor psikologi juga memainkan peranan dalam menjelaskan keinginan khusus kita untuk pencuci mulut selepas makan.

Dalam kebanyakan budaya, pencuci mulut dianggap sebagai ganjaran atau penutup untuk hidangan. Dengan digabungkan menerusi kenyang khusus deria, ia boleh mewujudkan kitaran maklum balas dalaman yang membentuk manusia untuk berasakan pengalaman makan tidak lengkap tanpa pencuci mulut di akhirnya.

Jadi, walaupun kita sebenarnya tidak mempunyai bahagian atau perut kedua untuk hidangan manis, "perut pencuci mulut" adalah fenomena yang sangat nyata! — The Star/VIVIEN LIM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram