SELAMA berabad-abad, kisah dongeng atau rekaan berjaya menjadi sumber inspirasi dan hiburan golongan kanak-kanak.
Namun, kajian terbaharu dari Kanada yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British mendedahkan bahawa cerita-cerita itu juga boleh digunakan sebagai medium pendidikan berkesan untuk mengajar kanak-kanak tentang kepentingan kualiti tidur.
Kajian diketuai oleh Megan Thomas dari Universiti Dalhousie mendapati bahawa terdapat empat kisah dongeng terkenal yang mempunyai elemen berkaitan tidur.
Kisah dongeng ternyata banyak memberi teladan dan kesedaran kepada masyarakat. — Gambar hiasan
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa kisah itu dapat menyampaikan mesej penting tentang manfaat mendapatkan tidur yang berkualiti.
Snow White dan Tujuh Orang Kerdil
Kisah itu menggambarkan kesan tidur yang terganggu dan sering dikaitkan dengan apnea tidur obstruktif.
Orang kerdil itu sendiri mewakili akibat-akibat itu seperti mudah marah, mengantuk, keletihan kronik dan malu serta kemahiran sosial yang berkurangan.
Puteri dan Sebutir Kacang
Kisah itu pula menggambarkan seorang puteri dengan masalah tidur dan sensitiviti deria yang menurut para penyelidik, mungkin menunjukkan gejala gangguan spektrum autisme.
Ini memberikan peluang untuk memahami bagaimana tidur yang tidak mencukupi boleh mempengaruhi kesejahteraan mental dan fizikal.
Goldilocks dan Tiga Beruang
Goldilocks memberi penekanan pada keadaan ideal untuk tidur yang berkualiti.
Kisah itu menunjukkan kepentingan persekitaran tidur yang terbaik iaitu keselesaan katil, suhu dan suasana bilik sebagai elemen penting untuk tidur yang lena.
Peter Pan
Dalam kisah dongeng Peter Pan, gangguan tidur seperti parasomnia diilustrasikan melalui watak utama.
Parasomnia adalah gangguan tidur yang sehingga membuatkan seseorang itu mendapat mimpi buruk, kegelisahan malam dan tidur sambil berjalan.
Gangguan itu biasanya berlaku pada kanak-kanak dan boleh diburukkan lagi oleh tekanan, kebimbangan perpisahan dan kekurangan tidur.
Jauh daripada cerita khayalan semata-mata, kisah-kisah itu menjadi antara cara untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kanak-kanak dan ibu bapa mereka tentang kepentingan tidur yang berkualiti sambil berhibur.
Menggunakan watak dan situasi penceritaan, mereka mengingatkan orang ramai bahawa tidur malam yang nyenyak adalah penting, bukan sahaja untuk kesihatan fizikal, tetapi juga untuk keseimbangan emosi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram