PENGUNJUNG boleh menikmati percutian yang tidak dapat dilupakan di sebuah resort butik eksklusif, The Boathouse Pulau Tioman yang terletak di pantai barat daya Pulau Tioman, Pahang.
Resort itu diinspirasikan oleh keindahan dan seni bina tradisional Melayu dengan menawarkan 31 unit banglo yang dibina menggunakan kayu tempatan.
Ia direka khas untuk memberikan keselesaan serta pengalaman penginapan yang tidak dapat dilupakan.
Inspirasi seni bina tradisi Melayu diterapkan di setiap Banglo The Boathouse Pulau Tioman.
Setiap banglo boleh diakses melalui jeti persendirian menggunakan bot, memberikan tetamu privasi penuh di tengah-tengah kawasan perlindungan rizab hidupan liar dan taman laut yang kaya dengan biodiversiti.
Pengurus Resort The Boathouse Pulau Tioman, Felix Yeo berkata, destinasi itu bertujuan menonjolkan keindahan Pulau Tioman sebagai destinasi percutian yang menenangkan.
"The Boathouse Pulau Tioman bertujuan untuk menonjolkan intipati Pulau Tioman dengan menampilkannya sebagai tempat percutian yang tenang dan berkongsi naratif kaya tentang pulau itu.
"Kami berasa amat teruja untuk menyambut para tetamu bagi memberikan pengalaman pulau yang asli," katanya.
Dari sudut penginapan, The Boathouse Pulau Tioman menawarkan pilihan banglo tepi pantai dengan teres persendirian yang membolehkan tetamu menikmati pemandangan laut yang menakjubkan.
Selain itu, Beach House juga disediakan sebagai pilihan penginapan lebih luas, sesuai untuk kumpulan besar, dengan susun atur yang menawarkan bilik tidur berasingan, ruang tamu dan ruang makan.
Pengalaman di The Boathouse Pulau Tioman tidak hanya terhad kepada penginapan yang selesa.
The Boathouse Pulau Tioman menawarkan pilihan banglo tepi pantai yang selesa.
Para tetamu boleh menikmati pelbagai aktiviti termasuk menyelam dan snorkeling untuk meneroka terumbu karang, serta mencuba aktiviti tradisional Malaysia seperti pembuatan wau dan permainan congkak.
Bagi mereka yang ingin merasai keindahan alam semula jadi, mereka boleh mendaki ke Air Terjun Kampung Asah atau menyaksikan pemandangan ikonik seperti Tanduk Naga.
Bagi pengunjung yang gemarkan adventure, terdapat aktiviti mendaki batu pasir dan pengembaraan lasak lain yang menawarkan pengalaman mengujakan.
Tidak ketinggalan, The Boathouse Pulau Tioman juga menyediakan pelbagai aktiviti berasaskan air.
Tetamu boleh menikmati pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan, melayari laut bersama pakar memancing atau meneroka pulau-pulau sekitar seperti Pulau Coral dan Pulau Renggis.
The Bouthouse Pulau Tioman menawarkan program menyelam buat pengunjung.
Bagi penggemar penyelaman, resort itu menawarkan program menyelam untuk semua tahap kemahiran termasuk kursus yang diperakui PADI.
The Boathouse Pulau Tioman juga mengambil langkah proaktif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Resort itu bekerjasama dengan Reef Check Malaysia dalam usaha memulihara terumbu karang dan ekosistem marin di sekitar pulau.
Selain itu, The Boathouse Pulau Tioman juga melancarkan inisiatif ‘Whale You Refill’, yang menggalakkan tetamu menggunakan botol boleh guna semula untuk mengurangkan penggunaan plastik.
Resort itu turut merancang untuk memperkenalkan bengkel ‘rePlastic’ untuk meningkatkan kesedaran tentang isu sisa plastik di lautan.
Dengan pembukaan The Boathouse Pulau Tioman, HPL Hotels & Resorts menambah lagi satu destinasi eksklusif dalam koleksi hartanah terkemukanya yang terkenal termasuk hotel-hotel ikonik seperti Hotel Concorde, Hard Rock Hotel, Casa del Mar dan Gili Lankanfushi.
Jelaslah, The Boathouse Pulau Tioman mampu menjadi destinasi pilihan utama bagi mereka yang mencari pengalaman percutian yang unik dan penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram