KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini menawarkan tren khas MySawasdee Edisi Penang yang menghubungkan Stesen Butterworth ke Hat Yai secara terus.
Perkhidmatan itu akan memulakan operasi sebagai percubaan laluan bermula 29 Disember hingga 5 Januari depan.
Jurucakap KTMB berkata, percubaan laluan itu bertujuan untuk menilai permintaan dan sambutan pengguna terhadap perkhidmatan tren khas berkenaan, sebagai perancangan pelaksanaan tren ke beberapa lokasi tumpuan di rangkaian State Railway of Thailand (SRT) pada masa akan datang.
BACA LAGI: Pemuda di India nyaris hilang nyawa dirempuh SUV ketika asyik 'bergayut' di kedai makan
BACA LAGI: [VIDEO] Khabar angin Jakarta bakal tenggelam makin kuat, air laut mula melimpah ke kawasan penduduk
Katanya lagi, perkhidmatan itu hanya menawarkan tambang sehala pada harga RM45 dan akan berhenti di beberapa stesen utama termasuk Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar, Arau dan Padang Besar.
"Jualan tiket akan bermula pukul 10 pagi pada Isnin. Masa berlepas dari Butterworth adalah pada pukul 7.40 pagi dan dijangka tiba di Hat Yai sekitar pukul 12.05 tengah hari waktu Thailand.
"Manakala jadual perjalanan berlepas dari Hat Yai adalah pada 3 petang waktu Thailand dan tiba di Butterworth pada pukul 9.46 malam," menurut kenyataan itu.
KTM memaklumkan, pengenalan laluan baharu itu memberi peluang kepada penduduk di utara Semenanjung Malaysia dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.
"Laluan itu dijangka memberi manfaat kepada pelancongan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong dari Hat Yai ke Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan budaya dan keunikan makanan tempatan.
"Selain itu, laluan ini juga berpotensi meningkatkan sektor pelancongan domestik dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, dengan manfaat kepada pelbagai perniagaan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh tren ini," tambahnya lagi.
KTMB juga menggalakkan pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan KTMB di talian 03-9779 1200. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram