SELEPAS tujuh tahun penantian, barisan artis popular dari rancangan hiburan Korea Selatan, Running Man kembali menghiburkan peminat mereka di Malaysia pada Februari tahun depan.
Konsert RUNNING MAN RUN 2 U LIVE IN KUALA LUMPUR akan berlangsung pada 15 Februari 2025 di Mines International Exhibition & Conference Centre (MIECC), Kuala Lumpur bermula pukul 5 petang.
Rancangan Running Man yang mula bersiaran sejak 2010 telah memasuki tahun ke-14 penyiarannya dan terus kekal sebagai salah satu rancangan hiburan paling popular di seluruh dunia terutamanya di Asia.
BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan
Dengan 732 episod yang menghiburkan, rancangan itu telah memenangi hati berjuta-juta peminat di pelbagai negara termasuk Malaysia.
Sejak 2013, barisan artis Running Man sering mengadakan lawatan ke luar negara untuk bertemu peminat mereka yang membawa kegembiraan dan gelak tawa ke setiap destinasi.
Konsert RUNNING MAN RUN 2 U LIVE IN KUALA LUMPUR akan menampilkan enam artis kesayangan peminat iaitu Jee Seok Jin, Yu Jae Seok, Kim Jong Kook, HAHA, Song Ji Hyo dan Yang Se Chan.
Menariknya, kunjungan itu menandakan kali pertama Yu Jae Seok dan Yang Se Chan hadir ke Malaysia!
Yu Jae Seok, yang dikenali dengan pesona dan jenaka spontan serta Yang Se Chan yang memikat hati peminat dengan gaya humoris dijangka memberikan persembahan yang luar biasa.
Interaksi mereka bersama ahli-ahli lain dan peminat pastinya akan mencipta kenangan manis untuk semua yang hadir.
Running Man bukan sekadar rancangan hiburan biasa tetapi ia adalah fenomena global.
Selain menyajikan aksi lucu dan permainan kreatif, rancangan itu juga sering menjelajah ke lokasi menarik di dalam dan luar Korea Selatan.
Kejayaannya terbukti melalui pelbagai anugerah yang diterima sepanjang tempoh penyiarannya.
Pada 2010, rancangan itu memenangi Anugerah Program Paling Popular di Anugerah Hiburan SBS Ke-4, diikuti oleh kemenangan yang sama pada Anugerah Hiburan SBS Ke-5 pada 2011.
Pada 2016, Running Man merangkul Anugerah Insider sebagai program TV paling popular di dunia.
Ia juga menduduki tempat pertama dalam senarai rancangan hiburan TV Korea paling popular di iQiyi Taiwan pada 2018.
Dari 2022 hingga 2024, rancangan itu menerima Anugerah Kesetiaan Pelanggan Jenama Korea selama tiga tahun berturut-turut.
Selain itu, ia memenangi Anugerah Jenama Tahunan pada 2023 dan 2024.
Kejayaan itu mencerminkan betapa relevannya rancangan tersebut dan diminati oleh penonton di seluruh dunia.
Jelajah RUNNING MAN RUN 2 U yang bermula pada 2024 telah mencipta kejayaan besar di Filipina dan Indonesia dengan tiket habis dijual.
Kini, giliran peminat Malaysia untuk menyaksikan sendiri kehebatan mereka di pentas.
Jangan lepaskan peluang untuk bertemu barisan artis Running Man secara langsung!
Penjualan tiket bermula pada 26 Disember 2024 melalui laman web [Bookmyshow](http://my.bookmyshow.com) dan TOYM.
Peminat boleh mendapatkan tiket dengan harga RM958, RM858, RM688, RM488, RM388 dan RM288. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram