PETANI dan keluarga mereka didapati kurang mengalami masalah alahan dan asma berbanding individu lain.
Bagi mereka yang tidak dibesarkan di kawasan ladang, pendedahan kepada haiwan peliharaan sejak kecil adalah alternatif terbaik.
Menurut sekumpulan saintis dari Sweden, perkara itu sudah lama diketahui bahawa kanak-kanak yang membesar di kawasan ladang mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami alahan.
BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan
BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya
Kajian yang diterbitkan dalam artikel perubatan PLOS One itu melibatkan analisis najis dan ujian bagi penyakit seperti asma, konjunktivitis, ekzema serta alahan makanan.
Hasil kajian mendapati bayi yang baru seminggu dilahirkan oleh ibu bapa yang bekerja sebagai petani menunjukkan tanda-tanda lebih kebal terhadap alahan berbanding bayi lain.
Pasukan penyelidik yang diketuai Universiti Gothenburg menjelaskan bahawa perbezaan itu mungkin berkait rapat dengan perkembangan mikrobiota usus semasa bayi.
Pendedahan kepada mikrob di ladang membantu kanak-kanak membangunkan mikrobiota usus yang 'lebih matang' berbanding mereka yang dibesarkan di bandar.
Selain itu, kanak-kanak yang membesar dengan haiwan peliharaan di rumah juga didapati kurang berisiko mengalami alahan – kemungkinan disebabkan punca sama.
Pada 2017, penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Allergy and Clinical Immunology menunjukkan hubungan antara pendedahan awal kanak-kanak kepada suasana ladang dengan risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit pernafasan.
Manakala pada 2023, kajian oleh University College Cork dan APC Microbiome Ireland mendapati kanak-kanak yang sering berada di luar rumah dan berinteraksi dengan haiwan mempunyai sistem imun yang lebih baik berbanding mereka yang dibesarkan di kawasan bandar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
