PEMUDA berusia 26 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas disambar petir ketika berteduh di Pantai Mertasari, Sanur, Denpasar, Bali, Indonesia.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan).
Ketua Perhubungan Awam Polis Denpasar, Penolong Pesuruhjaya Polis Ketut Sukadi berkata, pada awalnya, mangsa, Yoga Dwita Anugroho bersama rakannya, I Gede Gandhi Astawa dipercayai datang ke pantai berkenaan untuk memancing.
Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk berserta hujan lebat memaksanya untuk mencari tempat berteduh.
Sukadi berkata, Yoga kemudian memilih untuk berlindung di sebuah gazebo yang terletak berhampiran pantai.
"Mangsa sempat ingatkan kawan dia untuk matikan telefon pintar untuk elak risiko tersambar petir," katanya.
Malang tidak berbau, semasa berada di situ, Yoga secara tiba-tiba disambar petir.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukan lelaki itu terbaring di gazebo sambil dikelilingi beberapa pengunjung yang cuba untuk memberi bantuan.
Ketua Pelaksana Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Kota Denpasar, Ida Bagus Joni Ariwibawa berkata, pengunjung yang melihatnya terbaring terfikir mangsa hanyalah pengsan.
"Orang ramai ingatkan mangsa pengsan selepas dipanah petir. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Turut dilihat, pakaian mangsa yang terkena panahan petir itu berada dalam keadaan koyak rabak.
Pasukan perubatan kemudian membawa mayat Yoga ke Hospital Bali Mandara (RSBM) menggunakan ambulans untuk tindakan lanjut.
Pada masa ini, pihak berkuasa masih menyiasat untuk mengetahui kronologi sebenar insiden tersebut.
Mayat mangsa pula telah diserahkan kepada keluarga untuk menjalankan urusan pengebumian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram