GIMNASIUM yang diketahui umum sebagai pusat untuk membina badan hampir bertukar menjadi lokasi tragedi apabila seorang lelaki di Taiwan nyaris kehilangan nyawa selepas barbell seberat 68 kilogram (kg) menghimpit lehernya.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Bandar Taoyuan pada September lalu namun video insiden berkenaan ditularkan semula di laman media sosial pada Ahad.
Dalam rakaman tersebut, lelaki berkenaan dilihat keletihan ketika melakukan latihan bench press sebelum barbell itu tergelincir lalu menghempap lehernya.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
Usahanya untuk mengangkat semula barbell tersebut tidak berjaya sebelum dia kelihatan tercekik di bawah beban berat itu.
Pada mulanya, pengunjung lain di gim tersebut tidak menyedari keadaan kritikal yang dialami mangsa dan meneruskan latihan masing-masing.
Buat live makan diri. Nasib baik ada orang lain nampak. pic.twitter.com/WMe2m2F9Sz
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 15, 2024
Namun, selepas mangsa dilihat menggoyangkan kakinya dengan panik, seorang lelaki segera menghampiri dan mengangkat beban di sebelah kanan barbell untuk memberi ruang kepada mangsa bernafas.
Seorang wanita turut membantu mengangkat beban di sebelah kiri, dan bersama-sama mereka berjaya meletakkan barbell kembali ke tempatnya.
Seorang pengunjung lain kemudian berlari untuk mendapatkan bantuan kakitangan pusat senaman tersebut. Menurut laporan, kakitangan segera menghubungi perkhidmatan kecemasan, dan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kejadian itu telah mencetuskan kritikan terhadap pemilik premis berkenaan, khususnya terhadap kakitangan yang gagal bertindak pantas.
Penduduk tempatan turut mempersoalkan tahap pengawasan di gim tersebut serta langkah keselamatan yang disediakan.
Menurut Akta Perlindungan Pengguna, pengendali gimnasium seharusnya bertanggungjawab memastikan keselamatan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
Kegagalan menyediakan pengawasan yang mencukupi, papan tanda amaran, atau peralatan penyelamat yang diperlukan boleh menyebabkan tindakan undang-undang terhadap pihak pengendali.
Insiden berkenaan menjadi peringatan penting tentang keperluan mematuhi langkah keselamatan semasa bersenam, terutama ketika menggunakan peralatan berat seperti barbell. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram