[VIDEO] Burung punca pesawat AirAsia Tawau ke Kuala Lumpur berpatah balik


  • Massa
  • Isnin, 09 Dis 2024

Penerbangan AK5741 berlepas dari Tawau untuk menuju ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik. — Facebook

SYARIKAT penerbangan AirAsia mengesahkan bahawa pesawatnya terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tawau pada Sabtu lepas disebabkan oleh burung yang mengganggu enjin.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo berkata, pada awalnya, kru penerbangan AK5741 berlepas dari Tawau (TWU) untuk menuju ke Kuala Lumpur (KUL).

Namun, pihaknya mematuhi protokol keselamatan dan memilih untuk berpatah balik sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang dan kru.

BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove

BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba

Pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat di Tawau bersama kesemua 177 penumpang serta kru yang turun tanpa sebarang masalah.

Pemeriksaan kejuruteraan mendapati bahawa punca amaran yang diterima adalah disebabkan oleh serangan burung yang melanggar enjin pesawat.

Pesawat itu kemudiannya diperiksa dan dibaiki sebelum kembali beroperasi seperti biasa.

Tambahnya lagi, penumpang menerima penerbangan gantian yang berlepas dari Tawau pada pukul 9.58 malam pada hari yang sama.

Penumpang juga diberikan pilihan untuk menukar penerbangan tanpa caj tambahan, menerima kredit akaun, bayaran balik penuh atau baucar perjalanan sebagai tanda penghargaan.

Beliau menegaskan bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan AirAsia dan mengucapkan terima kasih kepada juruterbang, kru serta pihak lapangan terbang dan kawalan trafik udara atas bantuan pantas dalam menguruskan situasi tersebut.

Chester juga memaklumkan bahawa AirAsia bersama Malaysia Airports dan pihak berkepentingan lain sedang berusaha mengurangkan risiko pelanggaran burung melalui Program Pengurusan Hidupan Liar yang menumpukan pada kawasan panas di lapangan terbang domestik.

AirAsia komited untuk memastikan keselamatan penumpang dan kru dengan mengekalkan standard keselamatan yang tinggi dalam setiap penerbangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram