Taman Ulu Bendul ditutup sementara, 8 kes disyaki ada kaitan penyakit kencing tikus dikesan


  • Sihat
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Taman Rekreasi Ulu Bendul ditutup sehingga 15 Disember berikutan lapan kes berkait kencing tikus.

TAMAN Rekreasi Ulu Bendul ditutup sementara sehingga 15 Disember selepas lapan kes dipercayai berkaitan leptospirosis dilaporkan di situ sejak beberapa hari lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan.

Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, pihak berkuasa menerima tiga laporan sejak 19 November iaitu berkait tiga sekeluarga yang jatuh sakit selepas mengunjungi ke taman popular itu pada 10 November.

“Ketiga-tiga mereka mengalami demam, muntah dan cirit-birit selepas melawat taman berkenaan. Mereka kemudian mendapatkan rawatan di klinik kesihatan Sendayan.

"Kami menerima lima lagi kes sedemikian sekitar 10 dan 16 November dan kesemuanya melawat taman itu baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Dibuli senior kerana enggan beri wang, murid usia 9 tahun sekolah di Subang meninggal dunia lepas koma 3 hari

BACA LAGI: [VIDEO] Niat nak tangkap ikan tak kesampaian, anggota tentera maut kena sambar petir ketika tambat perahu

Dr Harlina berkata, seorang individu terpaksa dimasukkan ke wad manakala yang lain diberi rawatan pesakit luar.

Beliau berkata, sampel klinikal telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan sebagai ujian dan pengesahan.

“Kami juga telah mengumpul sampel dari taman untuk ujian.

"Langkah kawalan dan pencegahan juga telah diambil oleh agensi berkaitan dan kami telah memutuskan untuk menutup taman itu sehingga pertengahan Disember," katanya.

Dr Harlina menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan ketika mengunjungi kawasan rekreasi dan menggesa individu yang mengalami masalah kesihatan agar segera mendapatkan rawatan.

Leptospirosis yang juga dikenali sebagai penyakit kencing tikus adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Leptospira yang biasanya terdapat dalam air kencing haiwan seperti tikus. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram