
PEMINAT Detective Conan perlu bersedia untuk menyelami dunia penuh misteri menerusi Pameran Ulang Tahun ke-30 siri manga dan anime terkenal itu yang bakal berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula dari 6 Disember hingga 16 Februari 2025.
Acara berkenaan dibuat bagi meraikan tiga dekad karya hebat Gosho Aoyama yang mula diperkenalkan pada tahun 1994.
Detective Conan telah menjadi fenomena global yang tidak pernah pudar sejak diilhamkan daripada kisah detektif seperti Arsene Lupin dan Sherlock Holmes serta filem samurai, Akira Kurosawa.
BACA LAGI: [VIDEO] Eropah di ambang perang, banyak negara mula kerah aset
Selepas menjelajah beberapa bandar di sekitar Asia, kini giliran peminat dari Malaysia pula untuk menikmati pameran istimewa itu.
Dianjurkan oleh Mangosteems dan ACO Media, pameran berkenaan akan membawa pengunjung melalui lapan zon interaktif yang menjanjikan pengalaman mendalam ke dunia Conan Edogawa dan rakan-rakannya.
Pameran itu menampilkan segmen khas yang menceritakan sejarah dan kisah di sebalik watak-watak utama yang sesuai untuk peminat lama yang ingin mengenang kembali detik-detik nostalgia.
Tidak hanya itu, aktiviti interaktif yang membolehkan pengunjung menguji kemahiran detektif mereka dan berkongsi pengalaman menarik di media sosial juga akan diadakan.
Sebaik sahaja pintu pameran dibuka, pengunjung akan dapat meneroka 30 tahun perjalanan Detective Conan, mengimbas semula momen-momen ikonik dan menyelesaikan misteri bersama watak-watak kegemaran.
Jangan lepaskan peluang mengunjungi kedai pop-up eksklusif yang menawarkan koleksi edisi terhad dan barangan eksklusif khas untuk pasaran Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram