Rumah atas air di Semporna tiba-tiba runtuh, kanak-kanak OKU antara 9 sekeluarga terperangkap dalam bilik


  • 112
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Sembilan sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah di atas air secara tiba-tiba runtuh dalam kejadian di Semporna, Sabah pada Sabtu.

SEMBILAN sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak nyaris maut apabila terperangkap di dalam rumah atas air yang secara tiba-tiba runtuh dan tenggelam dalam kejadian di Semporna, Sabah pada Sabtu.

Ketika kejadian berlaku, terdapat mangsa yang sedang menikmati makanan tengah hari, selain ada yang sedang melakukan kegiatan masing-masing.

Ketua Balai Bomba Kampung Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, mereka menghantar sepasukan anggota dihantar ke lokasi berkenaan sebaik sahaja mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1:11 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] Eropah di ambang perang, banyak negara mula kerah aset

BACA LAGI: Tak fikir syurga neraka, warga emas pendendam dicekup 12 jam lepas penemuan mayat tanpa pengenalan diri di Kg Balibata Sabah

WhatsApp Image 2024-11-23 at 8.52.55 PM

Keadaan rumah atas air yang roboh dan tenggelam. — Facebook.

“Kami mendapati sebuah rumah runtuh dan jatuh ke dalam laut di Kampung Air Semporna,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Jali berkata, sembilan orang termasuk seorang lelaki, tiga wanita, tiga orang kanak-kanak lelaki dan dua perempuan berjaya diselamatkan daripada runtuhan itu.

Seorang daripada kanak-kanak lelaki itu, yang mengalami masalah pertuturan pada awalnya terperangkap di dalam bilik yang runtuh tetapi berjaya diselamatkan.

Mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai Jamal Sabiran, Sairan Sabiran, Nursupiana Amirzal, Munirah Amirzal, Muhammad Aryan Abdul Majid, Muhammad Izudian Amiruddin, Muhammad Izzat Amiruddin, Azramiajiniah Abdul Majid dan Nurizzafatimah Amiruddin

Beliau berkata, anggota bomba tidak mendapat butiran umur mereka disebabkan kesemua dokumen pengenalan diri mangsa sudah jatuh ke dalam laut dan hilang.

Menurut Noor, pemeriksaan kesihatan menunjukkan kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil, dengan hanya mengalami beberapa lebam dan luka ringan.

"Mereka semua dihantar ke balai raya kampung untuk penempatan sementara," katanya.

Operasi menyelamat di lokasi tamat pada pukul 2.59 petang selepas anggota bomba memastikan kawasan tersebut selamat dan bebas daripada sebarang bahaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram