HASRAT pulang ke sekolah tidak kesampaian apabila enam pelajar Sekolah Menengah Pertama (SMP) Negeri 2 Bumiayu, Kabupaten Brebes, Jawa Tengah, Indonesia disambar petir sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) pada Rabu.
Difahamkan, sewaktu kejadian, pelajar berkenaan cuba berteduh di pintu gerbang sekolah setelah tamat waktu persekolahan berikutan keadaan hujan lebat.
"Ya, betul. Kami sedang memeriksa tempat kejadian. Enam kanak-kanak disambar petir," kata Ketua Polis Bumiayu, Penolong Pesuruhjaya Polis Kasam pada Rabu.
BACA LAGI: Nikmati pengalaman sendirian dengan selamat, 5 tip berguna buat pengembara solo
Kasam berkata, pihaknya masih melakukan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengumpulkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di tempat kejadian.
Pengetua sekolah, Kukuh Sarjono turut mengesahkan kejadian tersebut yang melibatkan beberapa pelajarnya terkena panahan petir.
"Ketika itu hujan sangat lebat dan petir menyambar. Ramai pelajar menunggu di sekolah sehingga hujan reda kerana mereka dinasihatkan agar tidak berani menerobos hujan.
"Malangnya, pakaian, beg, buku dan kasut mereka tetap basah," katanya.
Akibat kejadian tersebut, enam mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Islam Muhammadiyah Siti Aminah Bumiayu kerana mengalami kesan lecuran.
Enam pelajar yang menjadi mangsa adalah Anwar dari kelas 7D, Fikri (kelas 8B), Fakhri (9A) dan tiga pelajar kelas 9E iaitu Ramadhan, Ade dan Nizam.
Ketua Dinas Pendidikan Belia dan Sukan (Dindikpora) Kabupaten Brebes, Caridah mengesahkan bahawa dua daripada enam pelajar yang terkena panahan petir tidak dapat diselamatkan.
"Dua pelajar telah meninggal dunia, manakala empat lagi sedang dirawat kerana mengalami kesan lecur," kata Caridah.
Dua pelajar yang meninggal dunia kerana dipanah petir seusai tamat waktu persekolahan.
Dua pelajar yang meninggal dunia adalah Ade Darmawan dan M. Fakhri Aziz.
Sementara itu, empat lagi mangsa iaitu Fikri, Ramadhan, Nizam dan Anwar masih menjalani rawatan di bilik kecemasan Mujamadiyah Siti Aminah Bumiayu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram